PDRM perlu perkasa sistem pemantauan dalaman kesan kes rasuah

PDRM perlu mengutamakan nilai integriti kepada setiap anggotanya dalam semua operasi dan pengurusan bagi mengurangkan kegiatan rasuah. - Gambar hiasan.
PDRM perlu mengutamakan nilai integriti kepada setiap anggotanya dalam semua operasi dan pengurusan bagi mengurangkan kegiatan rasuah. - Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran memperkasakan sistem pemantauan dalaman yang sedia ada untuk mengesan dan mengendalikan kes rasuah serta penyalahgunaan kuasa dengan lebih menyeluruh.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia termasuk membuat pendedahan kepada latihan dan penekanan terhadap tata kelakuan anggota yang betul.

"Pihak PDRM perlu mengutamakan nilai integriti kepada setiap anggotanya dalam semua operasi dan pengurusan bagi mengurangkan kegiatan rasuah.

"Selain itu, mekanisme pelaporan aduan yang lebih telus dan amanah harus dibentuk bagi anggota serta orang awam untuk melaporkan sebarang ketidakpatuhan atau kesalahan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota PDRM yang mempunyai masalah disiplin dan melanggar etika kerja demi menjaga imej serta reputasi pasukan tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, kesalahan seumpama itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia mampu memberikan kesan buruk kepada anggota lain sehingga rakyat hilang kepercayaan kepada PDRM.

Beliau memberi peringatan berkenaan susulan beberapa kes salah laku membabitkan pegawai dan anggota PDRM kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Jais berkata, tindakan tegas wajar diambil terhadap mana-mana polis yang terlibat dalam jenayah rasuah atau kesalahan tingkah laku tanpa mengira pangkat dengan menyiarkannya di televisyen awam sebagai amaran kepada anggota yang lain.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, PDRM juga patut memfokuskan kepada peningkatan kebajikan anggota di semua peringkat untuk memastikan mereka dapat bertugas dengan selesa.

"Jabatan ini patut merancang penambahbaikan perkhidmatan institusinya melalui teknologi terkini dan aplikasi strategik demi masa depan negara.

"PDRM perlu melibatkan komuniti tempatan dalam aktiviti pencegahan jenayah dan menggalakkan penglibatan awam dengan pelbagai program yang bersesuaian," ujarnya.