Bekas pengarah syarikat beras dituduh kemuka tuntutan palsu RM8.9 juta

Fikri Abu Bakar (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 28 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung pembiayaan pembelian beras kepada sebuah bank berjumlah lebih RM8.9 juta, lima tahun lalu. Foto Bernama
Fikri Abu Bakar (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 28 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung pembiayaan pembelian beras kepada sebuah bank berjumlah lebih RM8.9 juta, lima tahun lalu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengarah sebuah syarikat beras mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 28 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung pembiayaan pembelian beras kepada sebuah bank berjumlah lebih RM8.9 juta, lima tahun lalu.

Fikri Abu Bakar, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Mengikut semua pertuduhan utama, tertuduh ketika itu sebagai Pengarah Fikri Rice Sdn Bhd melalui seorang individu yang merupakan eksekutif operasi syarikat itu, telah memberikan 28 invois yang berjumlah RM8.9 juta.

Ia bagi menuntut kemudahan pembiayaan ‘Trade Working Capital Financing Islamic’ (TWCF-i) untuk pembiayaan pembelian beras kepada ejen Agrobank Berhad yang mana semua dokumen itu adalah palsu sedangkan tiada pembelian beras dibuat oleh Fikri Rice itu.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Menara Wisma Maran, di sini antara 18 November 2019 hingga 16 Januari 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 24(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh yang juga anak taikun syarikat beras lain, mengaku tidak bersalah atas 28 pertuduhan pilihan, iaitu menggunakan sebagai tulen 28 dokumen iaitu invois yang diketahui sebagai dokumen palsu, di lokasi dan tarikh sama.

Pendakwaan dikemukakan mengikut seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fadhly Mohd Zamry tidak mencadangkan ikat jamin kerana pertuduhan bagi kesalahan itu, termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

“Bagaimanapun, sekiranya, mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, kami mencadangan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin bagi 28 pertuduhan itu.

“Kami turut mencadangkan syarat tambahan iaitu melaporkan diri sekali setiap bulan di Pejabat SPRM Putrajaya serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar yang rendah, kerana anak guamnya perlu menanggung keluarga dan merupakan pesakit kencing manis.

“Pihak pembelaan tidak membantah syarat-syarat tambahan yang dicadangkan pasukan pendakwaan," katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 25 Mac depan untuk sebutan kes.