Realisasi tubuh Mahkamah Anak Negeri Sabah tahun ini - Hajiji

Hajiji - Foto Bernama
Hajiji - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah dalam usaha merealisasikan penubuhan Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah pada tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penubuhan itu merupakan satu transformasi bagi memartabatkan undang-undang adat Anak Negeri sekali gus memberikan imej yang berprestij dan berkaliber kepada ketua-ketua adat di mahkamah itu.

"Pemerkasaan Mahkamah Anak Negeri itu juga penting dan sebuah jawatankuasa khas melalui Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) juga ditubuhkan bagi penggubalan, pindaan dan penyemakan enakmen dan ordinan yang berkaitan.

"Hal ini adalah bagi menaik taraf sistem kehakiman Mahkamah Anak Negeri yang setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, ketua adat berperanan strategik dalam membimbing, menyokong dan mendorong pemerkasaan masyarakat tempatan, sekali gus memastikan masyarakat menyumbang kepada agenda hala tuju Sabah maju jaya.

"Peranan ketua-ketua adat dan ketua kampung kini semakin mencabar sekali gus memerlukan kebijaksanaan memimpin bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni, aman dan bersatu padu," katanya lagi. - Bernama

Artikel Berkaitan: