Mansuh pencen: Kecualikan sektor kritikal - Sanusi

Sanusi
Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Sektor pekerjaan yang kritikal seperti keselamatan, ketenteraan, pendidikan dan kesihatan wajar dikecualikan daripada pemansuhan skim pencen penjawat awam.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana sektor tersebut penting dan menjadi tunjang negara untuk menggerakkan dasar-dasar kerajaan.

Menurutnya, sekiranya skim pencen tersebut dimansuhkan, menyebabkan tiada lagi tarikan untuk orang ramai menjadi penjawat awam pada masa hadapan.

“Kalau tiada pencen... tak ada tarikan dan tiada jaminan selepas bersara. Ada sektor tertentu yang sekiranya tidak ditawarkan pencen selepas bersara seperti tentera atau polis yang berdepan risiko ketika berkhidmat, bila bersara tiada pencen, mereka nak kerja apa.

“Sebab itu sektor-sektor tertentu mungkin boleh diteruskan (mansuh pencen) tetapi sektor kritikal dan utama yang penting kepada negara wajar dikecualikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan ganjaran kepada pemenang pingat Sukan Komanwel 2022 Birmingham dan Sukan SEA 2023 Cambodia di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Sanusi berkata, kerajaan mungkin perlu melakukan sektor terpilih untuk melaksanakan pemansuhan skim pencen untuk melihat kesan akibat daripada keputusan tersebut.

“Saya rasa skim pencen masih relevan, kalau orang tak mahu lagi bekerja sebagai penjawat awam, mereka boleh pilih swasta atau terlibat dengan ekonomi gig yang tiada majikan.

“Buat apa ada majikan (kerajaan) tetapi pencen tak ada. Contohnya, selepas pencen tentera umur 40 atau 42, kalau pegawai boleh lanjut hingga 60 tahun sebab kelayakan dan pangkat berbeza.

Artikel Berkaitan:

“Kalau mereka nak sertai sektor pekerjaan lain termasuk kerajaan ada had umur, nak bersaing dalam sektor pekerjaan lain pun sukar, jadi perlu perhalusi,” jelasnya.

Mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa pembayaran pencen kepada penjawat awam membebankan kewangan negara, Sanusi tegaskan, ia merupakan tanggungjawab kerajaan kepada penjawat awam dan tidak wajar dikatakan sebagai bebanan.

“Kerajaan perlu tanggung sebab itu adalah tanggungjawab sesebuah negara. Pemimpin kerajaan hendaklah susun bagi elok, jangan gagal sebab sektor awam penting kepada negara.

“Sebagai pemimpin fikirlah macam mana untuk pastikan pencen itu dapat dikekalkan. Kalau berdepan sedikit beban, kemudian beban itu dipulangkan kepada rakyat, baik tak payah jadi pemimpin, jadilah rakyat,” katanya lagi.

Pada Selasa, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di peringkat akhir melaksanakan kajian berkaitan skim pencen penjawat awam sebelum dibawa ke Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan diambil berhubung skim berkenaan, termasuk untuk menggantikannya dengan kaedah lain.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan melaksanakan pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak sehingga kaedah lantikan baharu diperkenalkan bagi mengukuhkan sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.

Ketika ini, inisiatif kaedah baharu itu dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan, dan dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Kedudukan fiskal negara ketika ini tidak begitu mengizinkan, yang mana bayaran pencen pada tahun 2014 ialah RM12 bilion, meningkat kepada RM32 bilion (tahun ini) dan dijangka mencecah sehingga RM120 bilion pada 2030 menyebabkan kemungkinan kerajaan tidak lagi mampu menanggung.