Mansuh pencen: Tubuh suruhanjaya kaji impak secara terperinci

Hussain ketika siaran langsung Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Pencen atau KWSP?’ di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Hussain ketika siaran langsung Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Pencen atau KWSP?’ di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu merangka strategi baharu dengan menubuhkan satu suruhanjaya bagi mengkaji secara terperinci impak pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam baharu berstatus tetap.

Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, ia bertujuan untuk mengelak kesan negatif daripada pemansuhan skim berkenaan, selain memberi keadian kepada semua pihak.

Beliau berkata, negara sebenarnya mempunyai banyak sumber lain yang belum dibincangkan dan berkemungkinan boleh digunakan bagi menampung sebahagian daripada kos bayaran pencen sebanyak RM32 bilion.

“Apabila Kabinet bersetuju (mansuhkan skim pencen), bagi saya sepatutnya diadakan satu suruhanjaya untuk mengkaji dengan lebih terperinci tentang impaknya kepada penjawat awam dalam jangka masa panjang sepertimana pernah dibuat sebelum ini.

“Sebabnya pencen ini bukannya sekarang, ia sudah dibuat sebelum kemerdekaan zaman British lagi, cuma baru diwartakan menjadi Akta Pencen 1980.

“Kita cuma perlu tambah baik sahaja agar keadilan diberi kepada semua pihak, jadi tak bolehlah kalau nak kurangkan beban perbelanjaan negara tapi impak kepada penjawat awam jadi negatif, ia tidak menepati objektif awal akta berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika siaran langsung Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Pencen atau KWSP?’ di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Program dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd Nordin dan aktivis masyarakat, Liyana Marzuki.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 24 Januari lalu mengumumkan Kabinet bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Jelasnya, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas, namun golongan yang baharu dilantik kelak perlu membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, Hussain yang merupakan penganalisis politik berpandangan, tindakan kerajaan memansuhkan skim pencen penjawat awam ketika negara sedang berdepan krisis ekonomi memberi impak besar kepada 1.6 juta golongan berkenaan.

Tambah beliau, pencen yang diwujudkan adalah jaminan buat penjawat awam yang berkhidmat sebagai agen peneraju perubahan negara.

“Kerajaan perlu memahami tentang objektif dan menyelami falsafah pencen dengan hati yang ikhlas.

“Kita kena kembali kepada akta waktu ia digubal dahulu, apakah matlamatnya dan kalau faham tugas serta peranan penjawat awam, maka isu ini tak sepatutnya timbul,” ujar beliau.

Ditanya mengenai jangkaan sekiranya kerajaan meningkatkan tangga gaji penjawat awam bagi menamatkan skim pencen, Hussain berkata, perkara terbabit perlu dilihat dari dua dimensi berbeza kerana ia merupakan satu anugerah dan tidak wajar dimansuhkan meskipun pendapatan dinaikkan.

“Penyelarasan gaji penjawat awam dah lama tak dibuat, kalau hari ini kerajaan nak selaraskannya dan mansuh pencen, ia bakal menimbulkan persepsi yang lain.

“Jangan buka satu ruang untuk kita tutup satu ruang yang lain, ia patut diperincikan lagi,” ulasnya lagi.