Mansuh pencen tidak jejas pelajar tajaan JPA ceburi sektor awam

Liyana ketika siaran langsung Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Pencen atau KWSP?’ di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Liyana ketika siaran langsung Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Pencen atau KWSP?’ di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan memansuhkan skim pencen melibatkan penjawat awam yang baharu tidak akan menjadi penyebab pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di luar negara enggan kembali ke tanah air untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan.

Aktivis masyarakat, Liyana Marzuki berkata, bukan semua individu memasuki sektor awam hanya kerana ingin memperoleh manfaat skim pencen, sebaliknya mereka mahu berkhidmat untuk negara selain membina rangkaian dan pengalaman.

"Zaman sudah berubah, pencen bukan faktor utama untuk menjawat jawatan dalam perkhidmatan kerajaan, kita bukan macam zaman dahulu yang masuk bekerja sebagai penjawat awam hanya mahukan pencen.

"Saya setuju namun saya tidak menyatakan bahawa terus mansuhkan skim pencen ini tanpa memperhalusinya," katanya ketika siaran langsung Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Pencen atau KWSP?’ di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Program dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi dan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd Nordin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 24 Januari lalu mengumumkan Kabinet bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Jelasnya, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas, namun golongan yang baharu dilantik kelak perlu membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketika ditanya sama ada pengumuman kerajaan itu satu bom jangka atau sudah dijangka akan berlaku bagi mengurangkan beban kewangan negara, Liyana berkata, isu pencen sudah diperkatakan sejak 10 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Malah menurut beliau, kerajaan sebelum ini turut membangkitkan perkara sama.

Tambahnya, ia tidak boleh dipandang sebagai satu retorik atau hujah kosong sebaliknya kerajaan perlu menguar-uarkan sekali data sebenar.

"Kalau boleh, sokong isu bom jangka dengan data yang ada daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) dan Perbendaharaan Malaysia.

"Kita perlu tahu sekarang bahawa dalam belanja urus negara, 48 peratus daripadanya adalah daripada pencen serta gaji penjawat awam.

"Pada 2023, RM31 bilion dibayar untuk pencen penjawat awam manakala RM107 bilion untuk gaji dan dijangka pada tahun 2040, angkanya akan meningkat kepada RM120 bilion iaitu empat kali ganda yang kita ada sekarang hanya dengan membayar pencen," ujarnya.

Menurut Liyana lagi, rakyat perlu tahu di bawah undang-undang Akta Pendanaan Kerajaan 1983 termaktub bahawa wang pencen dan gaji tidak boleh dibayar melalui pinjaman.

Justeru katanya, kerajaan wajar menggunakan hasil dapatan melalui cukai-cukai bagi membayar RM120 bilion itu pada 2040.

"Dalam masa 16 tahun lagi, individu yang memasuki alam pekerjaan akan menanggung beban untuk melunaskan kos pencen berjumlah RM120 bilion kerana kerajaan mengambilnya daripada cukai-cukai dikenakan ke atas rakyat.

"Jadi, kita kena faham isu bom jangka ini biarlah berlaku sekarang supaya ia tidak menjadi tanggungjawab buat anak-anak kita nanti untuk membayar kos tersebut," ulas beliau.