Kesihatan Muhammad Amirul Nazmi beransur pulih

A
A
A

HULU TERENGGANU - Tahap kesihatan pelajar cemerlang yang mengalami masalah saluran pembuluh darah ke otak pecah sejak 18 Disember tahun lalu semakin menunjukkan perkembangan positif.

Wan Murni Wan Ngah, 46, menyatakan keadaan kesihatan anaknya, Muhammad Amirul Nazmi Sam, 20, mula beransur pulih meskipun masih terlantar di katil rumah di Kampung Jaba, Bukit Apit, Ajil di sini

"Sebelum ini dia tidak boleh bergerak seperti biasa. Selepas lakukan imbasan di hospital ada perubahan antaranya mata Muhammad Amirul Nazmi sudah berkedip.

"Dia beri isyarat dengan geleng kepala, kedip mata tapi tak boleh bersuara lagi.

"Jadi nampak keadaan kesihatannya semakin bertambah baik dan positif berbanding sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga di Kampung Jaba, Bukit Apit, Ajil di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang turut melakukan ziarah ke kediaman keluarga Muhammad Amirul.

Mengulas lanjut, Wan Murni menyatakan anaknya akan membuat rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Mac depan.

Wan Murni menjaga anaknya yang terlantar sakit
Wan Murni menjaga anaknya yang terlantar sakit

Artikel Berkaitan:

Wan Murni turut berterima kasih kepada pihak yang menghulurkan sumbangan termasuk pihak Petronas dengan memberi bantuan seperti katil, wang tunai dan barang keperluan harian.

Wan Murni juga tetap berharap dan berdoa agar penyakit anaknya itu sembuh dan sihat seperti sebelum ini supaya dapat meneruskan pengajian di universiti.

"Saya mendoakan supaya anak cepat sembuh dan dia dapat meneruskan cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK)," ujarnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Wan Murni menyatakan Muhammad Amirul Nazmi yang merupakan pelajar di bawah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) kini terlantar di rumah keluarganya di Kampung Jaba selepas mengalami masalah saluran pembuluh darah ke otak pecah sejak 18 Disember tahun lalu.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, anak keduanya memerlukan pemantauan rapi kerana tidak boleh bergerak seperti biasa dan tidak boleh menguruskan diri sepenuhnya.

Wan Murni berkata, anaknya itu bergantung sepenuhnya kepada susu dan perlu dipakaikan lampin pakai buang.

Muhammad Amirul Nazmi dijadualkan menamatkan pengajian A-level di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur pada Mac dan akan menyambung pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di United Kingdom (UK) pada Jun depan.

Muhammad Amirul Nazmi yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun sebelum ini memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021 sekali gus melayakkannya menyambung pengajian dalam bidang IT di UK.