Nak pinjam RM10,000 tapi kena bayar dulu RM85,000

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang kerani membuat pinjaman wang sebanyak RM10,000 berakhir dengan kerugian RM85,000 akibat ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, wanita berusia 43 tahun itu melihat satu iklan tawaran pinjaman wang di laman sosial pada 17 Januari lalu.

Menurutnya, mangsa yang tertarik dengan iklan itu berhasrat membuat pinjaman wang sebanyak RM10,000.

"Mangsa diminta untuk menyerahkan maklumat peribadi seperti slip gaji, salinan kad pengenalan, penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penyata bank bagi tujuan proses pinjaman wang.

"Suspek juga mengarahkan mangsa membuat bayaran RM85,000 untuk duti setem, aktifkan akaun, deposit bayaran balik dan CTOs," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa kemudian memasukkan wang tersebut ke dalam tujuh akaun bank berbeza dengan melakukan 34 kali transaksi.

"Transaksi dibuat dalam tempoh tiga minggu mulai tarikh berkenalan dan semua kerugian adalah daripada wang simpanan mangsa dan pinjaman daripada rakan," ujarnya.

Yahaya berkata, mangsa yang menyedari telah ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar memastikan pinjaman dibuat dengan syarikat pemberi pinjaman wang berlesen.

Katanya, masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.