Pas akan tubuh cawangan Kimanis: Mohd Amar

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Pas tidak menolak kemungkinan akan menubuhkan Pas Cawangan Kimanis dalam tempoh terdekat kerana menerima sokongan yang baik di kawasan itu.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu akan menggunakan peluang sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis bagi menarik sokongan rakyat kawasan itu.

"Buat masa ini kita memang tiada kekuatan di Kimanis. Maka kita lebih kepada usaha menubuhkan Pas secara rasmi di Kimanis," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan 2020 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mengulas mengenai PRK Kimanis, Pas akan memberi sepenuhnya sokongan kepada Barisan Nasional (BN) berdasarkan penyatuan Ummah sebelum ini.

"Setakat ini ada perkembangan menarik, cuma mungkin peluang 50-50," katanya.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang ketika itu bertanding atas tiket BN bagi kerusi itu.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lalu memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Artikel Berkaitan: