Waris Maryam Alissa dicari

Maryam Alissa kini berusia dua tahun.
Maryam Alissa kini berusia dua tahun.
A
A
A

MELAKA - Sepasang suami isteri mencari waris keluarga kepada anak peliharaannya yang dijumpai di Taman Mutiara, Batu Berendam di sini, dua tahun lalu.

Kanak-kanak perempuan bernama Maryam Alissa Abdullah, dua tahun kini di bawah jagaan sementara pasangan berusia 35 tahun itu.

Pelindung Melaka Tengah, Hannah Litin berkata, kanak-kanak perempuan itu sebelum ini ditemui orang awam di dalam sebuah bakul pakaian dobi dan berbalut dengan kain batik.

Menurutnya, pengesanan waris telah dibuat dan disiarkan di media massa pada 22 Februari 2022 dan telah diselamatkan mengikut peruntukan Seksyen 17(1)(e)(ii) Akta Kanak-kanak 2001.

"Usaha menjejaki waris keluarga kanak-kanak ini masih gagal dan buat sementara waktu kanak-kanak ini dijaga oleh pasangan suami isteri dari Paya Rumput.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai ibu atau waris kanak-kanak ini diharap boleh menghubungi kami," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Tambahnya, memandangkan tempoh perintah akan tamat, perintah di bawah Seksyen 15(3) Akta Kanak-kanak 2001 telah dipohon untuk mengesan waris kanak-kanak melalui media massa untuk kali kedua bagi tindakan selanjutnya.

"Waris atau orang ramai yang mengenali ibu kandung kanak-kanak terbabit boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak Daerah Melaka Tengah 06-3333333," katanya lagi.

Artikel Berkaitan: