Prabowo, Anies atau Ganjar?

Prabowo (tengah), Anies (kanan) dan Ganjar ketika pusingan kedua Debat Pilpres 2024.
Prabowo (tengah), Anies (kanan) dan Ganjar ketika pusingan kedua Debat Pilpres 2024.
A
A
A

JAKARTA - Kira-kira 205 juta rakyat Indonesia layak mengundi pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres) yang diadakan serentak dengan Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 pada Rabu.

Dalam pilihan raya sehari terbesar di dunia itu, mereka akan melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi memilih presiden, naib presiden, ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan ahli Dewan Perwakilan Daerah (DPD).

Kira-kira 25,000 anggota polis bersiap siaga memastikan keselamatan dalam saingan yang dilihat sebagai ujian terhadap demokrasi yang dicapai sejak berakhirnya pemerintahan autoritarian 25 tahun lalu.

Presiden Joko Widodo atau Jokowi menerajui negara dengan kepadatan penduduk 270 juta orang itu yang kini mengalami pertumbuhan dan kestabilan relatif sejak sedekad lalu.

Bagaimanapun, Jokowi menghadapi kritikan berhubung campur tangan politiknya dan desakan untuk menubuhkan dinasti politik menjelang Pilpres kali ini.

Memetik laporan CNA, pengkritik mendakwa Jokowi membina dinasti politik selepas Mahkamah Perlembagaan membuka jalan kepada anak sulungnya, Gibran Rakabuming Raka untuk bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Pada Oktober lalu, mahkamah memutuskan syarat umur minimum 40 tahun untuk calon presiden (capres) dan calon naib presiden (cawapres) tidak terpakai kepada pemimpin wilayah yang dipilih.

Ia sekali gus membolehkan Gibran yang berusia 36 tahun yang juga Datuk Bandar Surakarta untuk meletakkan namanya dalam undian.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu mengundang kritikan terhadap nepotisme memandangkan Ketua Hakim Negara ketika itu merupakan abang ipar Jokowi.

Sebahagian penyokong Prabowo menunjukkan tanda sokongan mereka kepadanya dalam satu majlis di Gelora Bung Karno, Jakarta baru-baru ini. - AFP
Sebahagian penyokong Prabowo menunjukkan tanda sokongan mereka kepadanya dalam satu majlis di Gelora Bung Karno, Jakarta baru-baru ini. - AFP

Gibran bertanding dalam pilihan raya sebagai cawapres kepada Prabowo Subianto dan Jokowi dipercayai secara rahsia mengumpulkan sokongan untuk memastikan kemenangan kedua-duanya.

Sekalipun tidak secara eksplisit menyokong mana-mana daripada tiga capres, namun Jokowi telah membuat penampilan yang sangat meluas dengan Prabowo.

Sokongan tersirat Jokowi terhadap Prabowo telah membawa kepada dakwaan bahawa presiden telah melanggar peraturan pilihan raya, yang kemudiannya beliau menafikannya.

Di Indonesia, presiden boleh berkempen untuk calon dengan syarat mereka tidak menggunakan sumber negara dan mesti mengambil cuti rasmi untuk berbuat demikian.

Sekalipun Pejabat Presiden telah menafikan campur tangan politik oleh Jokowi, ratusan pelajar telah mengadakan protes jalanan pada Isnin bagi membantah apa yang mereka lihat sebagai kemunduran demokrasi.

Atas kertas, Prabowo yang kini menggalas portfolio sebagai Menteri Pertahanan tampak berpeluang cerah mengambil alih teraju kepimpinan daripada Jokowi.

Bersandarkan tinjauan pendapat minggu lalu, Prabowo yang membuat membuat percubaan ketiga untuk menjadi presiden, mampu memperoleh lebih 50 peratus undi, sekali gus membolehkannya menang dalam pusingan pertama.

Dua lagi pencabar Prabowo - Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo dilihat masing-masing meraih sekurang-kurangnya 27 dan 31 mata di belakangnya.

Anies (tengah) diraikan para penyokongnya dalam satu himpunan di Stadium Antarabangsa Jakarta pada 10 Februari lalu. - AFP
Anies (tengah) diraikan para penyokongnya dalam satu himpunan di Stadium Antarabangsa Jakarta pada 10 Februari lalu. - AFP

Walaupun kiraan undi rasmi oleh badan pengundian dijangka berlangsung lewat malam pilihan raya, kiraan pantas oleh agensi tinjauan bebas akan memberikan petunjuk keputusan awal.

Capres memerlukan lebih daripada 50 peratus undian keseluruhan, dan sekurang-kurangnya 20 peratus undi di lebih separuh wilayah negara untuk menang.

Selama empat bulan, capres dan parti politik masing-masing telah mengadakan kempen di seluruh negara untuk mendapatkan sokongan.

Antara 11 Februari dan 13 Februari adalah tempoh bertenang apabila tiada kempen dibenarkan sehingga hari pilihan raya pada 14 Februari.

Keputusan tidak rasmi sepatutnya diketahui dalam 24 jam selepas tamat pengundian, namun badan tinjauan pendapat kebangsaan hanya akan mengumumkan keputusan muktamad 35 hari kemudian. - Agensi