Pemilu 2024: Kebimbangan di sebalik pertarungan besar Pilpres

Taufiq Rahman
Taufiq Rahman
A
A
A

JAKARTA - Isu ketelusan dan akauntabiliti dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 menjadi antara kebimbangan besar buat sebahagian rakyat dan media massa utama di Indonesia.

Ketua Pengarang The Jakarta Post, Taufiq Rahman berkata, beberapa keputusan dan penglibatan secara langsung Presiden Joko Widodo atau Jokowi dalam kempen pilihan raya kali ini memperlihatkan beliau seolah-olah 'bermain' untuk terus berkuasa.

Beliau mendakwa, penggunaan jentera kerajaan dan bantuan sosial (bansos) kepada golongan miskin yang bernilai kira-kira 500 trilion rupiah adalah yang terbesar pernah diberikan, contoh salah satu bentuk sokongan kepada calon pilihannya, Prabowo Subianto.

"Tidak pernah dalam sejarah, nilai bansos sebesar itu. Ia belum termasuk penggunaan jentera kerajaan untuk bantu seorang calon presiden sehingga mengundang kritikan banyak pihak.

"Tindakan itu mengundang protes khususnya daripada mahasiswa di Jakarta, Jogjakarta dan Bandung. Sebelum itu, ada kenyataan daripada profesor dan profesor kanan yang mengkritik kerajaan dalam memastikan integriti dalam pilihan raya kali ini.

"Paling nyata apabila Mahkamah Konstitusi (MK) pada Oktober tahun lepas membenarkan ahli politik berusia bawah 40 tahun bertanding bagi jawatan Presiden dan Naib Presiden bagi membolehkan anaknya, Gibran Rakabuming Raka yang juga gandingan Prabowo bertanding Naib Presiden," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam bersama Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Ismawi) Indonesia, sempena Program Jejak Serumpun Iswami Malaysia di sini, pada malam Isnin.

Taufiq sewaktu Majlis Makan Malam bersama Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Ismawi) Indonesia, sempena Program Jejak Serumpun Iswami Malaysia di sini, pada malam Isnin.
Taufiq sewaktu Majlis Makan Malam bersama Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Ismawi) Indonesia, sempena Program Jejak Serumpun Iswami Malaysia di sini, pada malam Isnin.

Artikel Berkaitan:

Selain gandingan Prabowo-Gibran, dua lagi pasukan ialah Anies Rasyid Baswedan (calon Presiden)-Dr Muhaimin Iskandar (calon Naib Presiden) dan pasukan Ganjar Pranowo (calon Presiden)-Dr Mahfud (calon Naib Presiden).

Tambah Taufiq, ketidakadilan itu menyebabkan adanya gerakan oleh pihak tertentu bagi memastikan pilihan raya kali ini lebih telus dan berintegriti.

"Pertarungan Pilpres kali ini sangat besar tapi senario yang berlaku, Jokowi tidak menyokong calon partinya dari PDI-P (Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan) iaitu Ganjar tapi dia memutuskan untuk menyokong Prabowo.

"Sepertinya Prabowo mungkin menang. Jika ia berlaku, akan ada koalisi antara Jokowi dan Prabowo, sekali gus gandingan ini mungkin berkuasa untuk tempoh dua penggal akan datang.

"Jokowi sendiri sudah berkuasa selama dua penggal. Kenapa beliau ambil keputusan untuk 'bermain' dan terus berkuasa?

"Daripada situ, kita lihat akan ada masalah demokrasi di Indonesia. Jika lihat di media sosial dan pemberitaan di media massa utama, ada banyak kekhuatiran kerana yang dipertandingkan itu adalah kualiti demokrasi Indonesia," jelasnya.

Seramai 205 juta pengundi Indonesia akan menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilpres Indonesia 2024 yang berlangsung secara serentak pada Rabu.

Ia bagi menentukan kepimpinan negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu, selepas Jokowi bakal menamatkan tempoh maksimum pemerintahan selama 10 tahun.

Jika tiada pasangan calon yang memenangi lebih 50 peratus undi dengan sekurang-kurangnya 20 peratus undi daripada lebih separuh wilayah, pusingan kedua akan diadakan pada 26 Jun antara dua calon teratas.

Presiden dan Naib Presiden yang baru dipilih akan mengangkat sumpah pada 20 Oktober bersama ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

Selain Presiden dan Naib Presiden, rakyat negara itu juga memilih untuk Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Daerah (DPD) yang baharu.