Kurang cergas punca Sabah FC tewas kepada Macarthur - Kim Swee

Laporan Sinar Harian. Kim Swee (kanan).
Laporan Sinar Harian. Kim Swee (kanan).
A
A
A

TIDAK cukup cergas merupakan antara punca Sabah FC tewas 0-3 kepada Macarthur FC, pada peringkat separuh akhir Zon ASEAN di Stadium Sukan Campbelltown di Sydney hari ini, kata Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Beliau berkata, anak buahnya juga telah melakukan kesilapan tidak sepatutnya sehingga memberikan peluang kepada pemain Macarthur untuk menjaringkan gol.

"Kami cuba untuk bangkit semula namun tidak mudah. Pasukan kehilangan konsentrasi. Kami juga membuat beberapa percubaan tetapi tidak berjaya untuk menjaringkan gol, tentu sekali Macarthur mempamerkan kualiti permainan yang lebih baik,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan di Sydney hari ini.

Kim Swee berkata, walaupun pasukannya telah tersingkir namun perlawanan seperti itu sangat berguna bagi meningkatkan prestasi Sabah, terutamanya dalam menghadapi Liga Super Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.

"Perlawanan ini pastinya memberikan pengalaman untuk meningkatkan keyakinan pemain dan pasukan supaya kita dapat perbaiki permainan kita lagi,” katanya.

Sabah melangkah ke separuh akhir Zon ASEAN selepas muncul sebagai juara Kumpulan H dengan 12 mata, manakala Macarthur merupakan juara Kumpulan F dengan 18 mata.

Semalam, dalam sidang akhbar praperlawanan, Kim Swee berkata tahap kecergasan pemain Macarthur sangat baik, kerana kekal tidak kalah dalam tujuh perlawanan A-League mereka tahun ini, manakala Rhinos kali terakhir bermain pada 17 Dis tahun lalu pada perlawanan Liga Super Malaysia menentang Kedah Darul Aman, di Stadium Likas di sini.

Artikel Berkaitan: