Piala AFC: Macarthur singkirkan Sabah FC 3-0

Aksi separuh akhir peringkat zon Piala AFC antara Macarthur FC dan Sabah FC di Stadium Campbelltown, Sydney, Australia pada Selasa. - Foto: AFC
Aksi separuh akhir peringkat zon Piala AFC antara Macarthur FC dan Sabah FC di Stadium Campbelltown, Sydney, Australia pada Selasa. - Foto: AFC
A
A
A

PERJALANAN Sabah FC di saingan Piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) 2023-2024 terhenti pada Separuh Akhir Peringkat Zon apabila tewas 0-3 kepada Macarthur FC di Stadium Campbelltown, Sydney, Australia pada Selasa.

Walaupun pasukan tuan rumah lebih menguasai bola pada awal perlawanan, skuad Sang Badak melakukan beberapa percubaan baik terutamanya menerusi Daniel Ting pada minit kedua dan penyerang import dari Brazil, Ramon Machado pada minit ke-30.

Namun, Macarthur yang hadir selaku juara Piala Australia 2022, berjaya membuka jaringan menerusi kapten pasukan Ulises Davila pada minit ke-40.

Bersambung babak kedua, pemain tengah, Jed Drew, 20, muncul wira bagi pasukan tuan rumah apabila meledak dua gol masing-masing pada minit ke-46 dan 80, sekali gus meranapkan harapan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk bangkit.

Pada final Zon ASEAN, skuad ‘The Bulls,’ yang belum pernah tewas dalam tujuh perlawanan di Liga-A, seterusnya akan bertemu pemenang separuh akhir antara Central Coast Mariners (Australia) dan Phnom Penh Crown (Kemboja).

Pemenang final itu akan beraksi menentang Odisha FC dari India pada separuh akhir antara zon.

Sabah mara ke separuh akhir selepas muncul juara Kumpulan H dengan 12 mata, manakala Macarthur merupakan juara Kumpulan F dengan 18 mata. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!