Dua pengarah syarikat pengendali umrah tak mengaku gagal patuh TTPM
KOTA BHARU - Dua pengarah syarikat pengendali pakej umrah tidak mengaku bersalah atas 51 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar balik tuntutan wang berjumlah RM503,221 kepada 17 mangsa di Mahkamah Majistret, di sini pada Selasa.
Kedua-dua individu berkenaan dari Emraz Travel & Tours Sdn Bhd iaitu Datuk Zulkarnain Endut, 43, dan Datin Mazuin Mustafa, 43, yang juga suami isteri mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Shafiq Aizat Nazri.
Mengikut pertuduhan, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd sebagai sebuah syarikat dengan Zulkarnain dan Mazuin, selaku orang kena saman (OKS) berdepan 51 pertuduhan kerana gagal mematuhi award TTPM berkenaan.
Kesemua OKS didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diketuai Mohd Sophian Zakaria, Suhana Mohd dan Shafiq Mahadi memohon jaminan dikenakan terhadap setiap OKS adalah sebanyak RM102,000 dengan seorang penjamin.
Katanya, semua OKS juga perlu melapor diri setiap bulan di KPDN Putrajaya bagi memastikan OKS hadir ke mahkamah.
"Untuk makluman pihak mahkamah, OKS sebelum ini sudah didakwa di Mahkamah Putrajaya atas 61 pertuduhan dan hari ini pula 51 pertuduhan membabitkan nilai RM503,221 di Kelantan.
"Kes ini membabitkan 17 mangsa di Kelantan di mana bakal jemaah umrah ini terpaksa menabung untuk menunaikan umrah. Bakal jemaah ini mula membuat pembayaran bermula Februari 2023 dan mangsa sepatutnya berlepas menunaikan umrah pada Mac tahun lalu.
"Sehingga kini tiada usaha dibuat OKS untuk menjejaskan bayaran kepada mangsa dan saya merasakan jaminan yang ditawarkan adalah bersesuaian memandangkan OKS sangat culas," katanya.
Bagaimanapun, peguam mewakili ketiga-tiga OKS, Datuk Hanif Hassan memohon jaminan dikurangkan memandangkan jumlah ditawarkan sebanyak RM102,000 bagi setiap OKS adalah sangat tinggi.
Katanya, anak guam mereka sudah tidak menjalankan operasi perniagaan dan lesen perniagaan juga sudah ditamatkan.
"Mereka susah tidak mempunyai hasil pendapatan untuk meneruskan hidup," katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,200 secara global (kesemua OKS) dan OKS perlu hadir untuk melapor diri setiap bulan di pejabat KPDN Putrajaya.