LAP jamin bekalan air di Pulau Pangkor selesai sebelum Ramadan

Mohammad Nizar (tengah) bersama Ishak (kiri) dan Lokman dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Selasa.
Mohammad Nizar (tengah) bersama Ishak (kiri) dan Lokman dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Lembaga Air Perak (LAP) beri jaminan bekalan air di Pulau Pangkor kembali pulih sebelum Ramadan, Mac ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sepanjang tempoh tersebut, LAP melakukan kerja-kerja pengesanan dan pengesahan paip utama rentas dasar laut ke pulau itu dalam usaha mengatasi masalah berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu diusahakan dengan bantuan juruselam di sepanjang 3.5 kilometer saluran membabitkan tiga paip utama, masing-masing berukuran 600 milimeter (mm), 350 mm dan 300 mm.

"Saya mohon maaf dan minta orang-orang di Pangkor agar bersabar sedikit, biar kita beri kesempatan kepada LAP meneruskan kerja mereka untuk membaiki keseluruhannya (paip utama).

"Kita akan lakukan secepat mungkin, kita beri jaminan sebelum Ramadan bermula, air ada dan bekalan mencukupi di semua tempat," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengurus Besar LAP, Datuk Ishak Abd Rahman dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) LAP, Ir Lokman Abd Rahim.

Mohamamd Nizar berkata, hasil pemantauan dan analisa dilakukan, kemungkinan masih berlaku kebocoran pada paip utama tersebut.

Katanya, perkara itu kerana tekanan air masih tidak kembali ke paras normal meskipun kerja pembaikan telah dilakukan di satu daripada tiga saluran paip utama tersebut pada 5 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Selepas baiki paip itu, tekanan air masih belum naik sehingga semalam. Atas sebab itu, kita syak memang ada berlaku lagi kebocoran sama ada di dua paip lain atau paip yang sama.

"Kita sedang teliti perkara itu dan kerja pembaikan akan segera dilaksanakan sekiranya didapati terdapat kebocoran yang dikesan dan disahkan lokasinya," katanya.

Dalam pada itu, Ishak berkata, bagi mengurangkan gangguan bekalan air, LAP telah menghantar enam lori tangki bagi pengagihan air ke kawasan-kawasan terjejas pada 9 dan 12 Februari lalu.

Ujar beliau, setakat ini antara yang terjejas teruk adalah di Teluk Nipah dan Teluk Dalam yang merupakan kawasan hujung bekalan dan saluran air terpaksa merentasi kawasan tinggi.

"Kawasan bandar tidak teruk sangat, gangguan hanya melibatkan tekanan air rendah sahaja berbanding di Teluk Nipah dan Teluk Dalam, masalah terputus bekalan air memang kerap berlaku," katanya.

Gangguan bekalan air di Pulau Pangkor dilaporkan berlaku bermula 9 Februari lepas sehingga kini disebabkan permintaan dan penggunaan air yang tinggi semasa cuti perayaan Tahun Baharu Cina dan musim curi sekolah.

Masalah itu dikatakan bertambah buruk apabila terdapat pengusaha chalet terutama di kawasan Teluk Nipah tidak mempunyai tangki simpanan air dalaman bagi menampung penggunaan air sehari.

Media melaporkan, LAP dalam proses menaik taraf rumah pam serta pembinaan tangki simpanan air sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan penyaluran bekalan air di Pulau Pangkor berjalan lancar.

Kerja-kerja menaik taraf itu dijangka dilaksanakan pada April depan, manakala projek pembinaan tangki simpanan air tersebut dalam proses pengambilan tanah