Warga Nepal dikhuatiri lemas, jatuh ketika buat panggilan video

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang warga Nepal dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh dari kawasan berbatu ketika membuat panggilan video di Teluk Tongkang di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan mengenai mangsa dikenali sebagai Ganesh Rana, 22, pada 5.50 petang tadi.

Beliau berkata, mangsa yang juga pekerja di sebuah kilang di sini, dikatakan pergi ke lokasi kejadian bersama beberapa rakannya sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

"Menurut rakan mangsa, ketika kejadian mereka duduk di kawasan berbatu dan mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ketika sedang membuat panggilan video bersama kakaknya sekitar 4.30 petang.

"Rakan mangsa cuba menyelamatkannya dengan mencapai baju mangsa, namun gagal kerana mangsa dibawa arus kuat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Wan Mohd Zahari berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah dilaksanakan di sepanjang Teluk Tongkang sehingga pantai Teluk Cempedak sebelum ia ditangguhkan kerana cuaca buruk. - Bernama

Artikel Berkaitan: