[VIDEO] Asnaf dakwa terpaksa menginap di hotel selepas dihalau dari rumah sewa

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lima sekeluarga mendakwa terpaksa menyewa bilik hotel kerana tiada tempat tinggal selepas dihalau dari rumah sewanya di Kampung Surau Haji Daud dekat sini pada Oktober tahun lalu.

Izawati Hussain, 42, berkata, dia bersama suami, Aziz Mamat, 48 dan tiga anaknya menyewa bilik hotel di pusat bandar di sini dengan bayaran RM70 sehari sejak empat bulan lepas.

Menurutnya, mereka terpaksa menyewa bilik hotel berkenaan kerana tidak menemui rumah sewa yang sesuai selain tidak mampu membayar deposit rumah serta sewa bulanan yang tinggi.

Izawati (kanan) bersama anak-anaknya ketika ditemui di bilik hotel di bandar Kuala Terengganu.
Izawati (kanan) bersama anak-anaknya ketika ditemui di bilik hotel di bandar Kuala Terengganu.

"Sebelum ni dah tiga buah rumah kami sewa iaitu di Kampung Padang Midin, Kampung Pengadang Baru dan rumah terakhir di Kampung Surau Haji Daud.

"Untuk rumah sewa terakhir itu kami terpaksa keluar sebab tuan rumah halau selepas sebulan tak bayar sewa rumah sebanyak RM400," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Izawati, suaminya yang bekerja sebagai tukang rumah mengalami penyakit asma dan dia sendiri tidak bekerja kerana baru menjalani pembedahan akibat penyakit kencing manis.

"Suami kerja tak menentu jadi pendapatan pun tak berapa ada. Ada masa kena panggil buat kerja adalah gaji. Kalau hari tak ada kerja tak ada lah gaji.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang pun dia dah lama tak buat kerja. Duit simpanan kami pun dah habis. Saya tak tahu macam mana nak bayar sewa hotel ni lepas ni.

"Anak-anak pula selalu tanya bila nak dapat rumah lain. Nanti dah nak puasa lagi takkan saya masih duduk menyewa di hotel lagi. Saya pun buntu memikirkan masalah tempat tinggal kami," katanya.

Ditanya bagaimana menguruskan perbelanjaan harian termasuk makan dan minum, katanya mereka bergantung kepada wang ihsan orang ramai dan bantuan kerajaan.

"Untuk belanja sehari-harian tu kami bergantung kepada wang bantuan bulanan MAIDAM (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu) sebanyak RM500 untuk wang bantuan persekolahan anak.

"Kadang-kadang ada insan yang bermurah hati hulurkan sumbangan jadi dapatlah kami gunakan untuk belanja beli makanan pada hari tersebut.

"Sebelum ni ada dapat bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) tapi dah dihentikan. Saya pun tak pasti sebab apa bantuan JKM dah dihentikan," ujarnya.

Izawati berkata, sejak menginap di hotel itu, dia terpaksa menghantar tiga anaknya dengan menaiki motosikal untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin dan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Midin sejauh kira-kira 10 kilometer (km) sebelum cuti akhir persekolahan bermula hari ini.

"Anak saya yang Tahun Dua tu sebelum ni banyak hari tak datang sekolah sebab inilah, kami pindah randah. Jadi susah nak beri perhatian kepada dia. Anak yang Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat tu dah boleh bawa diri. Mereka pun ada beritahu cikgu yang mereka tiada tempat tinggal.

"Seorang lagi anak yang berusia 18 tahun dah tamat sekolah. Dia kini tinggal bersama ibu mentua di Kampung Paya Resak," katanya.

Sementara itu, ditanya mengapa mereka tidak berusaha untuk memohon rumah bantuan kerajaan atau memiliki kediaman sendiri sepanjang perkahwinan, katanya ia melibatkan masalah peribadi.

"Kami nak mohon rumah kerajaan pun tak pandai. Tak tahu nak tuju ke mana. Nak jumpa siapa. Saya tak tahu nak mohon macam mana. Kalau boleh saya memang nak ada rumah sendiri yang saya tak pindah-randah macam sekarang.

"Ada tanah keluarga tapi apa pula kata adik beradik yang lain jika saya buat rumah atas tanah itu.

"Sebelum ni saya pernah dapat rumah sewa bawah bantuan kerajaan di Padang Midin. Masa tu kerajaan (MAIDAM) bantu untuk bayar sewa kepada tuan rumah sebanyak RM280 sebulan.

"Tetapi, kami juga dihalau sebab tuan rumah kata bayaran itu sudah dihentikan dan kami terpaksa bayar secara terus kepada dia," katanya.