Perogol luar tabii paling profilik dijel seumur hidup

Reynhard didakwa mencampurkan dadah dalam minuman mangsa sebelum melakukan serangan seksual ke atas mereka.
Reynhard didakwa mencampurkan dadah dalam minuman mangsa sebelum melakukan serangan seksual ke atas mereka.
A
A
A

MANCHESTER - Seorang perogol luar tabii paling prolifik di Britain dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 30 tahun semalam.

Keputusan itu dibuat selepas tertuduh yang merupakan pelajar warga Indonesia, Reynhard Sinaga didapati bersalah merogol atau menyerang secara seksual 48 lelaki muda di Manchester.

Polis percaya lelaki terbabit melakukan serangan seksual ke atas 195 lelaki dalam tempoh lebih 18 bulan.

Perkhidmatan Pendakwaan Diraja (CPS) memaklumkan Reynhard, 36, didakwa dengan 159 kesalahan termasuk 136 kes rogol dan lapan cubaan rogol dalam empat perbicaraan secara berasingan.

Difahamkan, keputusan itu adalah untuk perbicaraan ketiga dan keempat yang mana dia disabit bersalah dengan pertuduhan berkaitan 23 lagi mangsa.

Pihak berkuasa masih belum mengenal pasti kira-kira 70 mangsa lain.

The Guardian melaporkan tertuduh didakwa memperdaya kebanyakan mangsa untuk ke flat yang didiaminya dengan berpura-pura untuk menawarkan bantuan atau tempat untuk tidur sebelum mencampurkan dadah dalam minuman mereka.

"Reynhard kemudiannya menyerang mangsa-mangsanya apabila mereka tidak sedarkan diri. Kebanyakan mangsanya dipercayai penuntut berusia belasan dan awal 20-an," lapor akhbar itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Perbuatan lelaki tersebut akhirnya terbongkar selepas dia ditahan pada Jun 2017 apabila salah seorang mangsanya sedar ketika diserang secara seksual.

Hasil serbuan dilakukan pihak berkuasa turut menemui rakaman selama beberapa jam tentang serangan seksual itu yang disimpan dalam telefon bimbitnya.

"Detektif juga menjumpai 3.29 terabait bahan grafik serangan seksual tersebut yang bersamaan 250 DVD atau 300,000 gambar. Durasi salah satu insiden serangan seksual itu berlarutan sehingga lapan jam," jelas CPS dalam satu kenyataan. - Agensi