Parti politik di Pakistan usaha bentuk kerajaan campuran

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

ISLAMABAD - Berikutan tiada pemenang jelas walaupun pengiraan undi pilihan raya Pakistan pada Khamis hampir selesai, parti-parti politik memulakan usaha untuk membentuk kerajaan campuran.

Bekas Perdana Menteri tiga kali, Nawaz Sharif dalam ucapan kepada penyokong di Lahore pada malam Jumaat mendakwa partinya memenangi kebanyakan kerusi dan mahu membentuk kerajaan perpaduan selepas menghubungi parti-parti sekutunya, lapor Agensi Anadolu.

Untuk itu, adik lelakinya yang juga bekas perdana menteri, Shehbaz Sharif bertemu pemimpin Parti Rakyat Pakistan dan bekas Presiden Asif Zardari untuk membincangkan perkembangan itu.

Keputusan 251 daripada 266 kerusi umum dalam Dewan Negara menunjukkan calon bebas yang disokong parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) mendahului dengan 99 kerusi, diikuti Liga Muslim Pakistan-Nawaz dengan 71, PPP 54, dan MQM 17.

Sesebuah parti memerlukan 169 kerusi di dewan rakyat yang mempunyai 336 anggota untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Bekas Perdana Menteri Imran Khan yang kini menjalani hukuman penjara, turut mendakwa partinya menang majoriti dua pertiga menerusi ucapan yang menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Jurucakap PTI, Rauf Hassan berkata, mereka akan membentuk kerajaan persekutuan serta kerajaan di wilayah Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa.

Keputusan sementara bagaimanapun menunjukkan calon-calon yang disokong PTI mungkin tidak dapat membentuk kerajaan secara bersendirian berikutan parti itu hilang haknya ke atas kerusi simpanan, sekali gus meningkatkan peluang mana-mana parti untuk memperoleh angka ajaib untuk penguasaan politik negara itu.

Artikel Berkaitan:

Calon bebas, bagaimanapun, mempunyai pilihan untuk menyertai mana-mana parti selepas pilihan raya.

Laporan menunjukkan calon bebas yang disokong PTI, merancang untuk menyertai Majlis Wahdat-e-Muslimeen (MWM), sebuah parti agama.

Ketuanya, Allama Abbas Nasir memberitahu Agensi Anadolu bahawa belum ada perbincangan sedemikian.

"Saya bertemu Khan Sahab di penjara pada 6 Februari... Kami menyokong Khan Sahab selama ini, mereka telah menyokong kami... PTI juga mempunyai pilihan, belum ada perbincangan seperti itu,” menurut Abas melalui telefon.

"Kami tidak membuat tawaran kepada mereka, tidak juga membincangkannya.

"Tetapi kami menyokong Khan Sahab tanpa syarat," katanya.

Partinya memenangi satu kerusi parlimen. Keputusan akhir belum diketahui setakat ini. - Bernama/Anadolu