Kerajaan PH, Warisan komited teruskan projek Lebuhraya Pan Borneo

Projek Lebuhraya Pan Borneo. - Foto Bernama
Projek Lebuhraya Pan Borneo. - Foto Bernama
A
A
A

KIMANIS - Langkah mengambil alih pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) daripada syarikat pada September tahun lepas membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan projek itu dilaksana dengan jayanya.

Malah bagi memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksana dengan berkesan, KKR kemudian memberi tanggungjawab pelaksanaan projek itu kepada Jabatan Kerja Raya negeri di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah November tahun lepas, Menteri Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony menyatakan sebanyak 12 pakej kerja projek lebuh raya itu dijangka siap mengikut tempoh asal pada Jun 2022.

Beliau berkata, tiga lagi pakej hanya akan dapat disiapkan selewat-lewatnya akhir 2023.

Pelaksanaan 15 pakej projek lebuh raya itu diteruskan pembinaannya dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dalam tempoh 2016-2020 manakala baki 20 pakej kerja lagi akan dilaksana dalam RMK Ke-12 (2021-2025).

Berdasarkan komitmen kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah itu, ia sekali gus menafikan dakwaan parti pembangkang, Barisan Nasional (BN) dalam kempen mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang sedang berlangsung sekarang bahawa pelaksanaan projek itu terbengkalai.

Dakwaan dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya Pakatan Harapan (PH) telah menyekat usaha BN untuk menukar landskap ekonomi rakyat Sabah apabila projek mega Lebuh Raya Pan Borneo kini terbengkalai.

Semalam, KKR dalam kenyataan memaklumkan bahawa projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah setakat 31 Disember 2019 mencatat kemajuan fizikal 22 peratus secara keseluruhan bagi 12 pakej asal dan akan siap sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya Jun 2023.

Artikel Berkaitan:

Kementerian itu turut memberitahu bahawa tiga pakej tambahan yang baharu pula dijangka siap akhir 2023.

Projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak dilancarkan oleh kerajaan sebelum ini pada Jun 2015 dengan melibatkan 2,333 kilometer jalan raya utama di kedua-dua negeri.

Menyedari kepentingan pelaksanaan projek tersebut kepada penduduk di kedua-dua negeri berkenaan, kerajaan PH komited memastikan projek tersebut disiapkan dan komitmen itu dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 pada Oktober tahun lepas.

Guan Eng berkata, pelaksanaan projek itu penting bagi memastikan pembangunan infrastruktur itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Sabah dan Sarawak.

Menerusi proses rasionalisasi diambil oleh kerajaan PH, kos projek berkenaan menghasilkan penjimatan sebanyak RM1.2 bilion dengan mengurangkan kos projek kepada RM29 bilion daripada kos asal.

Bagi Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, beliau memberi jaminan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan diteruskan menggunakan pendekatan dan formula baharu.

Beliau berkata, struktur baharu bagi mengurus pembinaan lebuh raya bernilai berbilion ringgit itu akan mengurangkan kos pelaksanaan projek.

Menurutnya, projek masih diteruskan tetapi mahu menjimatkan wang dengan kerajaan membelanjakan RM26 juta ketika projek itu diurus PDP dan sehingga kini sejumlah RM900 juta dibelanjakan untuk pampasan tanah.

Bagi memastikan ketelusan dan projek itu dilaksana dengan baik, Mohd Shafie berkata, projek akan diurus oleh badan yang dipengerusikan Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Safar Untong dan dianggotai wakil daripada Kementerian Kewangan serta Kementerian Kerja Raya negeri dan Persekutuan.

Katanya, keputusan membatalkan PDP juga berdasarkan pertimbangan syarikat perunding dimiliki ahli parti politik.

Berdasarkan tinjauan Bernama di kawasan Parlimen Kimanis mendapati ada kontraktor yang melakukan kerja-kerja pembinaan lebuh raya berkenaan. - Bernama