Mangsa gempa Turkiye diami 'bandar kontena'

Lokasi terkesan gempa di Kahramanmaras kini sesak dengan 'rumah kontena'.
Lokasi terkesan gempa di Kahramanmaras kini sesak dengan 'rumah kontena'.
A
A
A

ANTAKYA - Lebih 689,000 daripada kira-kira tiga juta penduduk hilang tempatan tinggal, setahun selepas gempa berkekuatan 7.8 skala Richter meranapkan sebahagian besar kawasan selatan Turkiye.

Lokasi bencana dahsyat itu kini bertukar menjadi 'bandar kontena'.

Dianggarkan seramai 1,200 penduduk mendiami 300 kontena berukuran kira-kira 21 meter persegi yang turut dilengkapi ruang mandi dan tandas kecil di lokasi dimiliki syarikat tekstil di bandar Besni, wilayah tenggara Adiyaman.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), mereka menyediakan beberapa kelengkapan penting seperti peti sejuk, sistem penyaman udara dan pemanas untuk setiap keluarga.

Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Hayata Destek menyifatkan 'komuniti kontena' itu sememangnya bernasib baik memandangkan sebahagian penduduk di Adiyaman masih terdedah dengan air tercemar selain kontena yang didiami mereka tidak memberi perlindungan sepenuhnya daripada hujan dan cuaca sejuk.

Selain itu, kebanyakan penduduk yang hilang tempat tinggal akibat bencana itu terpaksa berlindung di bawah khemah atau bangunan separa rosak di Adiyaman.

Dianggarkan seramai 1,200 penduduk mendiami 300 kontena yang disediakan di bandar Besni.
Dianggarkan seramai 1,200 penduduk mendiami 300 kontena yang disediakan di bandar Besni.

Di lokasi 'bandar kontena' di Besni, ruang yang terhad menyukarkan komuniti tersebut untuk menjalankan aktiviti seharian, namun tiada prospek yang membolehkan mereka berpindah ke kawasan lain dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, pemilik hartanah yang musnah biasanya layak mendapatkan rumah untuk mangsa gempa yang disediakan oleh agensi perumahan disokong kerajaan iaitu TOKI.Namun, ia agak sukar memandangkan kebanyakan penduduk hanyalah penyewa sebelum ini.

Di tengah-tengah kemusnahan berskala besar di wilayah terbabit, kadar sewa juga telah melonjak kepada kira-kira 300 peratus berikutan lokasi itu dinilai berisiko tinggi dan ia agak membebankan kebanyakan keluarga kerana didakwa melebihi kemampuan mereka.

Bagi menangani isu itu, projek mega pembinaan semula perlu dilaksanakan bagi menurunkan harga sewa, namun prosesnya dilihat agak perlahan berikutan beberapa pemaju dan kontraktor terpalit kes kecuaian di bawah projek pembinaan yang menyebabkan banyak struktur musnah teruk dalam insiden gempa tersebut.

Selepas kejadian bencana pada 6 Februari 2023, Presiden Recep Tayyip Erdogan pernah berjanji kesemua struktur yang terjejas akan dibina semula dalam tempoh setahun.

Beliau kemudiannya mengumumkan kira-kira 319,000 unit rumah akan siap menjelang bulan ini dan jumlah yang sama pada tahun depan.

Namun, data dikeluarkan Kementerian Alam Sekitar, Pembandaran dan Perubahan Iklim menunjukkan hanya 46,000 daripada 307,000 unit rumah dapat disiapkan pada bulan lalu. - Agensi