Henti guna modal politik murahan - Mohd Hasbie

Mohd Hasbie
Mohd Hasbie
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan 18 Enakmen Jenayah Syariah Kelantan tidak seharusnya menjadi modal politik atau dijadikan bahan sorakan oleh golongan pembenci agama sebaliknya perlu diinsafi dan diambil pengajaran.

Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional, Mohd Hasbie Muda berkata, pemain politik hanya menyimbah minyak ke dalam api daripada mengajar rakyat melihat perkara itu daripada kaca mata objektif dan rasional.

"Sebenarnya kes Nik Elin ini bukanlah suatu cubaan untuk merendah undang-undang Islam, sebaliknya hanyalah persoalan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mempunyai kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan ataupun tidak bagi menggubal 18 Enakmen Jenayah Syariah tersebut.

"Bagi kami, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini jauh sekali tamparan kepada Islam, sebaliknya kepada penggubal undang-undang negeri yang buta Perlembagaan dan tidak mahu meneliti had kuasa sebelum membuat apa-apa undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Jumaat.

Sebelum ini, peguam, Nik Elin Zurina, 62, dan Tengku Yasmin Nastasha, 26, memfailkan petisyen terhadap kerajaan negeri Kelantan dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan di sini mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan yang dipertikaikan, dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah.

Keputusan majoriti dicapai dengan lapan hakim menyokong pempetisyen itu manakala seorang menentang.

Selain Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, hakim lain yang menyokong ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Hasbie berkata, keputusan berkenaan juga adil sebagai mana dua seksyen di dalam Enakmen tersebut iaitu Seksyen 13 dan 30 dikekalkan kerana sememangnya dalam bidang kuasa DUN.

Beliau berkata, itu menunjukkan sekiranya ahli DUN Kelantan melaksanakan amanah dengan cermat, mereka boleh sahaja menggubal undang-undang syariah yang selari dengan kuasa yang diberikan di bawah Perlembagaan.

"Baki 16 lagi seksyen yang dibatalkan pula ialah kerana alasan kukuh iaitu di luar bidang kuasa negeri.

"Itupun perkara-perkara seperti liwat, memusnahkan tempat ibadah, gangguan seksual, salah guna halal dan pemalsuan dokumen semuanya sudah sedia ada sebagai jenayah di bawah undang-undang sivil dan diperuntukkan hukuman yang lebih berat lagi," jelasnya.

Menurut beliau, sistem perundangan yang dibina sejak dahulu yang membenarkan kewujudan undang-undang sivil dan syariah adalah suatu sistem paling seimbang serta sesuai dengan realiti masyarakat majmuk di Malaysia.

Jelasnya, dalam kedua-dua sistem sekalipun ia tidak boleh melampaui batas Perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi negara kita.

"Cabaran melebihi had undang-undang ini juga selalu berlaku di bawah undang-undang sivil yang turut bertentangan dengan Perlembagaan sehingga digelar 'ultra vires', jadi ini bukanlah penindasan kepada undang-undang Islam semata-mata.

"Perjuangan untuk memperkasakan undang-undang syariah adalah perlu dan biarlah ia berjalan seiring dengan kuasa yang ada dan dengan ilmu yang tepat," katanya.

Tegas Mohd Hasbie, menggubal undang-undang di luar kuasa sehingga menyebabkan cabaran Perlembagaan sedemikian hanya akan menjadi fitnah kepada Islam yang suci.