Skuad terjun tutup kempen di Doha dengan aksi mengecewakan

Penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Harold bersaing dalam acara terjun segerak platform 10m platform lelaki semasa Kejohanan Akuatik Dunia 2024 di Pusat Akuatik Hamad di Doha. Foto AFP
Penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Harold bersaing dalam acara terjun segerak platform 10m platform lelaki semasa Kejohanan Akuatik Dunia 2024 di Pusat Akuatik Hamad di Doha. Foto AFP
A
A
A
SKUAD terjun negara hari ini menamatkan kempen Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar tanpa membawa pulang sebarang pingat selain tiada tambahan kepada senarai wakil negara yang berjaya menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Aksi saringan acara 10 meter (m) platform lelaki pada Jumaat menyaksikan dua penerjun negara Enrique Maccartney Harold dan Jellson Jabillin masing-masing sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-27 (340.40 mata) dan ke-32 (318.10 mata) daripada 45 pesaing.

Mereka sekali gus gagal menempatkan diri dalam kelompok 12 penerjun terbaik dalam acara individu untuk memperoleh tiket beraksi dalam temasya empat tahun sekali itu.

Malah kejutan paling besar pada edisi ini ialah ratu terjun negara dan pemenang pingat dua kali, Datuk Pandelela Rinong serta dua lagi harapan negara Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee turut terlepas peluang untuk beraksi di Paris.

Justeru, Bertrand Rhodict Lises merupakan satu-satunya penerjun negara yang layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi acara 10m platform lelaki selepas mengesahkan slot pada Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun, tahun lepas.
Artikel Berkaitan:


Sejak edisi 2000, Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya tiga wakil dalam sukan terjun, manakala edisi London 2012 dan Rio 2016 masing-masing enam dan tujuh penerjun.

Sukan Olimpik Paris 2024 akan membuka tirai pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan. - Bernama