Kajian SSPA jangka diumum suku keempat tahun ini - PM

Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Melaka di MITC Ayer Keroh, hari ini. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Melaka di MITC Ayer Keroh, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Hasil kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dijangka diumumkan selewat-lewatnya suku keempat tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sudah tiba masanya proses tersebut dipercepatkan bagi memberi manfaat kepada penjawat awam seluruh negara.

"Ada keluhan tentang (tempoh) kajian SSPA ini kerana sudah 12 tahun dan kadar upah penjawat awam tidak dikaji dan ditingkatkan.

"Tahun lalu saya bagi jaminan dan tahun ini sudah sampai tahap yang mana saya percepatkan proses itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertemuan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Perdana Menteri berkata, proses itu akan dipercepatkan dalam beberapa bulan ini dan akan dipersembahkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh tiga bulan.

"Selepas itu kita boleh umumkan. Jadi ia (keputusan) pada suku ketiga atau selewat-lewatnya (suku) keempat tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Akhbar sebelum ini melaporkan laporan akhir kajian SSPA dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.

Anwar dilaporkan sebagai berkata, perkara itu diputuskan berdasarkan persetujuan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!