Valentine's Day haram, tiada dalam Islam

Khalwat, zina antara maksiat yang sering dikaitkan dengan sambutan hari berkasih sayang itu

ISLAM menuntut umatnya yang telah berkahwin umtuk berkasih sayang sepanjang masa, bukan hanya pada masa tertentu. - Foto Pexels
ISLAM menuntut umatnya yang telah berkahwin umtuk berkasih sayang sepanjang masa, bukan hanya pada masa tertentu. - Foto Pexels
A
A
A

SECARA umumnya, rata-rata masyarakat Islam di Malaysia sudah pun maklum mengenai hukum menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day iaitu haram.

Antara fatwa yang sering dirujuk ialah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005, memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Velentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Bagaimanapun, setiap tahun kita dihidangkan dengan banyak berita mengenai operasi yang dijalankan pihak berkuasa agama mengenai jenayah syariah yang dilakukan segelintir umat Islam pada tanggal 14 Februari itu.

Persoalannya, mengapakah mereka terus melakukan maksiat? Apakah mereka tidak sedar mengenai undang-undang Islam yang bakal dikenakan jika ditangkap dan didakwa?

Tuntutan berkasih sayang sepanjang masa

Mengupas mengenai jenayah syariah berkaitan Hari Kekasih, Sinar Islam bertemu Pengamal Undang-Undang Syariah, Muhammad Firdaus Alhadi Abdullah.

Menurutnya, tidak ada sambutan Hari Kekasih di dalam Islam memandangkan tuntutan untuk berkasih sayang itu sepatutnya dilakukan setiap masa sepanjang tahun bagi pasangan suami isteri.

“Ajaran Islam menuntut kita untuk berkasih sayang sepanjang masa untuk pasangan suami isteri dan bukannya hanya pada hari tertentu seperti Valentine’s Day.

Artikel Berkaitan:

“Malah, ia tidak ada pun dalam Islam. Lebih membimbangkan lagi apabila umat Islam terutama golongan remaja dan muda-mudi turut menyambutnya, sekali gus terjebak dengan maksiat atau jenayah syariah seperti khalwat dan zina,” katanya.

MUHAMMAD FIRDAUS ALHADI
MUHAMMAD FIRDAUS ALHADI

Jelas beliau, Islam dari awal lagi mencegah umatnya daripada melakukan perbuatan yang menjurus kepada penzinaan berdasarkan ayat ke-32 Surah Al-Israk.

“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia (zina) itu suatu perbuatan keji dan jalan yang buruk.”

Khalwat paling kerap dilakukan

Hurainya, beberapa jenayah syariah atau maksiat yang sering berkait dengan sambutan Hari Kekasih itu adalah khalwat, perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah dan melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

“Antara jenayah syariah yang sering dilakukan pasangan muda-mudi yang belum berkahwin sempena Hari Kekasih ialah khalwat.

“Khalwat menurut undang-undang syariah secara umumnya bermaksud orang lelaki (atau perempuan) yang didapati bersama dengannya seorang atau lebih perempuan atau lelaki yang bukan isterinya atau suaminya atau mahramnya, di mana-mana tempat terselindung, di dalam rumah atau di dalam bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral,” katanya.

HARAM hukumnya menyambut Hari Kekasih namun masih terdapat sebahagian umat Islam terpengaruh dengannya.
HARAM hukumnya menyambut Hari Kekasih namun masih terdapat sebahagian umat Islam terpengaruh dengannya.

Hurainya, jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Hukuman tersebut dirujuk kepada Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

“Bagi kesalahan perbuatan persediaan untuk melakukan persetubuhan, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 24 akta sama yang boleh dihukum denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah pula berada di bawah Seksyen 23 akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau hukuman sebatan yang tidak melebihi enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman berkenaan,” jelasnya.

Tambah Muhammad Firdaus Alhadi, satu lagi maksiat yang sering dilakukan oleh pasangan yang belum berkahwin ialah perbuatan tidak sopan di tempat awam.

“Pelaku akan dirujuk kepada Seksyen 29 akta sama dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

OPERASI penangkapan pelaku jenayah syariah dan pendakwaan di Mahkamah Syariah dibuat agar menjadi pengajaran kepada umat Islam. - Foto Pexels
OPERASI penangkapan pelaku jenayah syariah dan pendakwaan di Mahkamah Syariah dibuat agar menjadi pengajaran kepada umat Islam. - Foto Pexels

Beliau menjelaskan, untuk mencegah perbuatan maksiat itu, tiga aspek utama perlu diberi perhatian.

1. Individu: Umat Islam secara individunya perlu memahami dan menyedari mengenai pengharaman sambutan dan pengharaman maksiat yang berkaitan dengannya.

Setiap mereka perlu mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam dan mengamalkannya.

2. Keluarga: Peranan ibu bapa dan ahli keluarga lain amat penting dalam mendidik anak-anak sejak kecil mengenai halal haram serta ajaran Islam lain.

Anak-anak terutamanya remaja dan masih bujang perlu diberi pemantauan yang lebih dengan mengenalpasti kedudukan serta rakan-rakan mereka.

3. Masyarakat: Mereka perlu berperanan untuk segera melaporkan perbuatan jenayah syariah kepada pihak penguatkuasa agama atau polis.

Masyarakat perlu peka dengan keadaan sekeliling dan segera bertindak untuk mencegah kemungkaran sebagaimana tuntutan agama menyuruh berbuat baik serta mencegah segala kemungkaran.