[VIDEO] Destinasi alam, warisan dan sejarah

A
A
A

KULIM - Jika berkunjung ke negeri jelapang padi, Kedah, jangan lepaskan peluang untuk ke mukim Sedim di daerah Kulim yang menawarkan kawasan riadah menarik sambil merasai kesegaran udara segar dalam suasana kampung nostalgik.

Terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Kulim, Sedim merupakan lokasi pelancongan tempatan popular terutamanya dalam kalangan penggemar aktiviti lasak.

Sinar Harian berpeluang menyaksikan sendiri keindahan alam di Sedim, selain menyertai pelbagai aktiviti menarik melalui program Pemukiman Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di Inap Desa Sedim, baru-baru ini.

Rumah Lindungan Raja di Sedim merupakan lokasi wajib dikunjungi pengunjung.
Rumah Lindungan Raja di Sedim merupakan lokasi wajib dikunjungi pengunjung.

Antara tarikan di Sedim termasuklah Tree Top Walk sepanjang 925 meter (m) yang pernah disenaraikan sebagai antara laluan kanopi tertinggi bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di dunia.

Pengerusi Koperasi Pelancongan Homestay Sedim Kulim Berhad, Abdul Mutalib Che Sa berkata, kawasan Sedim menawarkan pelbagai keistimewaan dari segi alam semula jadi, warisan dan nilai sejarah.

“Sedim terkenal dengan aktiviti white water rafting ataupun berakit meredah arus deras atau aliran jeram sungai sejauh lapan kilometer (km) menyusuri jeram deras Sungai Sedim.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, terdapat tarikan lain iaitu enam air terjun terutamanya Air Terjun Sungai Teruna yang diibaratkan sebagai ‘permata tersembunyi’ di Sedim,” ujarnya.

Menurutnya, pengunjung boleh berjalan pada aras ketinggian pokok sambil menikmati ke-indahan alam melalui Tree Top Walk Sungai Sedim.

Keindahan alam semula jadi boleh disaksikan melalui laluan kanopi Tree Top Walk.
Keindahan alam semula jadi boleh disaksikan melalui laluan kanopi Tree Top Walk.

“Selain disajikan dengan keindahan panorama hutan yang mendamaikan, pengunjung berpeluang melakukan aktiviti mendaki Gunung Bintang yang bermula di Hutan Lipur Sungai Sedim,” katanya.

Abdul Mutalib berkata, dari segi sejarah, terdapat sebuah rumah kayu dengan seni bina Melayu dikenali sebagai Rumah Lindungan Raja di Kampung Lindungan Raja, Sedim.

Jelasnya, rumah itu dinamakan Rumah Lindungan Raja atas pengorbanan anak buah Kampung Sedim melindungi sultan dan kerabat diraja daripada pelbagai bencana.

Menurut Abdul Mutalib yang juga Penyelaras Inap Desa Sedim berkata, inap desa ataupun homestay itu mampu memberi ketenangan kepada mereka yang ingin lari daripada hiruk-pikuk bandar.

Aktiviti 'white water rafting' antara tarikan menarik di Sedim.
Aktiviti 'white water rafting' antara tarikan menarik di Sedim.

Kongsinya, pengunjung juga boleh merasai pengala-man tinggal dalam rumah kampung di kediaman keluarga angkat yang terdiri daripada penduduk tempatan.

“Di inap desa ini, pengunjung boleh belajar membuat makanan tradisional seperti kuih baulu dan karas atau belajar membuat kopi tumbuk,” katanya.

Pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman membuat kuih tradisional.
Pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman membuat kuih tradisional.

Tambahnya, pengunjung boleh melihat dan menyertai aktiviti rewang yang merupakan budaya dan adat tradisi unik penduduk Sedim sehingga kini.

“Sebelum ini ada pelancong antarabangsa diberi peluang merasai sendiri pengalaman rewang bermula dengan memotong pokok pisang untuk memasak gulai kawah,” katanya.

Ujarnya lagi, mereka juga boleh menikmati aktiviti kebudayaan seperti upacara perkahwinan Melayu sambil diiringi bunyi paluan kompang di inap desa itu.

Penduduk Sedim memberi penerangan tentang pembuatan madu kelulut.
Penduduk Sedim memberi penerangan tentang pembuatan madu kelulut.

“Ada aktiviti renjis-renjis, selain peserta dibawa berarak menaiki tandu ataupun beca. Sememangnya ia pengalaman berharga buat mereka.

“Pengunjung juga akan dibawa melihat pembuatan madu kelulut ataupun kraf tangan hasil penduduk,” katanya.

Berada di Sedim untuk beriadah sambil melihat keindahan alam, ditambah dengan pelbagai aktiviti bersama masyarakat setempat pastinya memberikan pengalaman amat bermakna.

Pengunjung didedahkan dengan aktiviti membuat kopi tumbuk.
Pengunjung didedahkan dengan aktiviti membuat kopi tumbuk.