Kok Hong bukan sekadar rakan di padang - Merzagua

Moey Kok Hong
Moey Kok Hong
A
A
A

PEMERGIAN bekas pemain bola sepak Pulau Pinang, Moey Kok Hong yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung awal pagi semalam, amat dirasai bekas rakan sepasukannya, Merzagua Abderrazak.

Mergazua, 57, yang juga Pengarah Teknikal Penang FA berkata, ini kerana hubungan mereka bukan setakat rakan di atas padang tetapi Kok Hong sudah dianggap seperti adik sendiri.

“Saya sedih mendengar berita kematian Kok Hong...mendiang bukan sahaja sahabat saya tetapi sudah seperti keluarga sendiri begitu juga dengan rakan sepasukan lain.

“Saya tidak dapat melupakan detik kami bergandingan ketika melawan pasukan Selangor FC di Bukit Jalil pada 1998. Saya menjaringkan gol pertama manakala mendiang (Moey) menendang masuk gol kedua yang menyaksikan kami memenangi perlawanan sekali gus menjuarai Dunhill Liga Perdana 1,” katanya.

Semalam media melaporkan Kok Hong, yang pernah menyarung jersi skuad Harimau Malaya, menghembuskan nafas terakhir pada usia 56 tahun, meninggalkan seorang isteri, Ang Chooi Choon, 54, tiga anak dan empat cucu.

Kok Hong yang berasal dari Butterworth pernah mewakili Malaysia pada kempen Piala Tiger 1998 dengan beraksi pada perlawanan pertama menentang Singapura di Hanoi, Vietnam, selain turut diturunkan ketika perlawanan persahabatan antara Pilihan Malaysia dan Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 1999.

Mendiang mula bermain bersama Penang FA antara 1987 dan 1992 sebelum berpindah ke pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diikuti Negeri Sembilan dan Perak sebelum kembali menyarung jersi Pulau Pinang pada 1996 hingga 2002.

Sementara itu, anak kedua mendiang Moey Shih Ying, 27, berkata, bapanya memang tidak sihat sejak beberapa hari lepas susulan penyakit jantung dialami lebih lima tahun lepas malah pernah menjalani prosedur angioplasti koronari.

Artikel Berkaitan:

“Pagi semalam di rumah dia tiba-tiba tidak sedarkan diri dan kami cuba berikan bantuan pernafasan namun disahkan meninggal dunia kira-kira 5 pagi sebaik tiba Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Kami sekeluarga amat berdukacita apatah lagi bapa pergi hanya tiga hari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya ketika ditemui di rumah pengurusan mayat di Mak Mandin di sini.

Menurutnya mayat mendiang akan dibawa untuk upacara pembakaran di Krematorium Berapit, Bukit Mertajam, 10 pagi esok. - Bernama