Lelaki diburu lari pemeriksaan JPJ diberkas

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Ahmad Ridhwan)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Ahmad Ridhwan)
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang lelaki yang diburu selepas melarikan diri daripada pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga melanggar kenderaan orang awam berjaya diberkas di Kelanang dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, tangkapan dibuat sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat kira-kira jam 1.30 pagi.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat dalam kes curi kenderaan berdasarkan rekod cap jari yang dikesan.

"Suspek berusia lingkungan 20-an telah direman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan," katanya pada Khamis.

Tambahnya, siasatan awal suspek bertindak melarikan diri kerana cukai jalan tamat tempoh.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, polis menerima laporan berhubung kes terbabit daripada penguat kuasa JPJ pada jam 2.45 petang Isnin lalu.

Tangkap layar memaparkan seorang lelaki yang melarikan diri daripada pemeriksaan JPJ di Telok Panglima Garang, Kuala Langat Isnin lalu.
Tangkap layar memaparkan seorang lelaki yang melarikan diri daripada pemeriksaan JPJ di Telok Panglima Garang, Kuala Langat Isnin lalu.

Kejadian berlaku ketika anggota JPJ terbabit sedang menjalankan tugas rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan Telok Panglima Garang sebelum terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 12.40 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Kereta itu telah diarah berhenti, namun suspek dikatakan terus melarikan diri sebelum dikejar dan kereta terbabit berhenti akibat kesesakan lalu lintas.

Suspek mengundurkan keretanya sehingga mengakibatkan perlanggaran dengan kenderaan JPJ dan dua kereta orang awam sebelum melarikan diri.