'Arwah pesan jangan ambil sebarang pingat kebesaran selepas kematiannya' - Isteri

Rohani berkata, Allahyarham Mohd Azraai Khor (gambar kecil) sering berpesan perkara itu kepadanya kerana bagi legenda jurulatih Hijau Kuning itu, jasa seseorang itu harus dikenang ketika hayatnya.
Rohani berkata, Allahyarham Mohd Azraai Khor (gambar kecil) sering berpesan perkara itu kepadanya kerana bagi legenda jurulatih Hijau Kuning itu, jasa seseorang itu harus dikenang ketika hayatnya.
A
A
A

ALOR SETAR - Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah, 72, pernah berpesan kepada isterinya agar tidak menerima sebarang pingat kebesaran yang dianugerahkan kepadanya selepas dia meninggal dunia kelak.

Isterinya, Rohani Ibrahim, 64, berkata, Allahyarham sering berpesan perkara itu kepadanya kerana bagi legenda jurulatih Hijau Kuning itu, jasa seseorang itu harus dikenang ketika hayatnya.

"Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan dan itu sahaja yang sering dipesan kepada saya. Memang saya agak terkejut dengan pemergiannya ini sebab semuanya berlaku secara tiba-tiba.

"Bagaimanapun saya reda kerana dia pergi pada hari yang baik dan pada bulan Rejab yang baik," katanya ketika ditemui di pekarangan Kedah Medical Centre (KMC), di sini pada Khamis.

Menurutnya, suaminya itu kurang sihat sejak empat hari yang lalu selepas mengalami kesukaran untuk membuang air besar.

"Oleh sebab itu, perutnya semakin kembung dan menyusuk-nyucuk di bahagian kelilingnya. Saya dah bawa ke klinik dan doktor maklumkan tekanan darahnya agak tinggi mungkin disebabkan dia tak dapat tidur malam kerana menahan sakit," ujarnya.

Katanya, pada pagi Khamis selepas menyiapkan sarapan dan memberi Allahyarham memakan ubat dia keluar untuk mencari buah betik seperti diminta oleh suaminya itu.

"Kemudian semasa saya menyuapkan buah betik ke mulutnya, dia buang, suap air pun meleleh keluar semula.

Artikel Berkaitan:

"Saya mula rasa tidak sedap hati, disebabkan bimbang tengok keadaan suami, saya terus meminta anak untuk menghubungi ambulans," katanya.

Rohani berkata, ketika dalam ambulans, suaminya dilihat seperti terkena serangan strok selain nafas semakin laju.

“Sampai di hospital, doktor kata mereka akan cuba selamatkan arwah tetapi keadaannya ketika itu memang sudah kritikal dan minta kami bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.

"Lama juga doktor cuba selamatkan arwah tetapi selepas itu kami dimaklumkan dia telah meninggal dunia kira-kira jam 12.05 tengah hari," katanya.

Katanya, dia agak terkilan kerana hasrat arwah untuk menghantar anak perempuan mereka menyambung pelajaran bulan hadapan tidak kesampaian.

"Allahyarham sangat teruja membuat persiapan keperluan untuk menghantar anak perempuan kami yang berusia 20 tahun yang ditawarkan pengajian di UITM Segamat.

"Dia yang beli beg pakaian dan lain-lain kelengkapan, dia senang hati dan berbangga kerana anaknya dapat tawaran sambung belajar," katanya.

Dalam masa yang sama Rohani menambah, Allahyarham pernah menzahirkan rasa bangga menjadi anak jati Kedah dan minatnya terhadap sukan bola sepak tidak akan berakhir kerana sudah sebati dengan jiwanya.

"Ramai yang menghormatinya kerana dia tidak pernah sombong dengan sesiapa, walaupun sudah bersara, dia masih menyumbang idea, berkongsi pengalaman dengan sesiapa sahaja," katanya.