Lapor pemandu bas langgar peraturan

Dzowahir (kanan) dan Aman Shah (tengah) beramah mesra dengan orang awam pada Program Jelajah Mesra Exco Pengangkutan Kedah di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini, pada malam Khamis.
Dzowahir (kanan) dan Aman Shah (tengah) beramah mesra dengan orang awam pada Program Jelajah Mesra Exco Pengangkutan Kedah di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini, pada malam Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah meminta penumpang bas untuk membuat laporan sekiranya mengesan pemandu bas melanggar peraturan jalan raya sehingga mengancam keselamatan ketika mereka menggunakan perkhidmatan awam itu khususnya pada musim perayaan.

Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim berkata, terdapat beberapa kesalahan sering dikesan iaitu memandu dalam keadaan merbahaya dan melebihi had laju serta memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

Beliau memberitahu, pemandu bas adakalanya turut dikesan melanggar peraturan lain seperti tiada pemandu kedua, memandu di lorong kanan secara berterusan, tatacara kelakuan pemandu dan kesalahan teknikal.

“Orang ramai boleh melaporkan dengan segera, dengan menghantar rakaman video menerusi aplikasi MyJPJ untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Melalui MyJPJ, penumpang sendiri yang ingin pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina ini, boleh merakam dan menghantar terus video yang ada kepada kita (JPJ),” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada Program Jelajah Mesra Exco Pengangkutan Kedah di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini, pada malam Khamis.

Hadir sama, Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah Dzowahir Ab Ghani.

Beliau memberitahu, operasi penyamaran dalam bas juga akan dilakukan anggota JPJ bagi mengesan pemandu tidak beretika di jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Aman Shah memaklumkan, tumpuan akan diberikan kepada beberapa lokasi panas dikenal pasti di beberapa daerah seperti Kota Setar, Kuala Muda dan Kulim demi mengurangkan statistik kemalangan membabitkan bas ekspres.

Sehubungan itu, beliau berharap pemandu bas sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ditetapkan demi memastikan semua selamat sampai ke destinasi dituju.

Sebelum itu, Dzowahir turut menyampaikan cenderahati kepada pemandu serta penumpang daripada 16 syarikat bas ketika jelajah mesra tersebut.

Dalam pada itu, seorang pemandu bas ekspres berusia dalam lingkungan 60-an ditahan selepas didapati positif jenis methamphetamine pada program dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).