Kereta terbakar, warga emas rentung, 2 kanak-kanak melecur

Anggota bomba memadam kebakaran kereta yang mengorbankan seorang warga emas. Foto PBPM Perak
Anggota bomba memadam kebakaran kereta yang mengorbankan seorang warga emas. Foto PBPM Perak
A
A
A

TAPAH - Seorang warga emas rentung manakala dua kanak-kanak bersama seorang lagi wanita melecur selepas kenderaan dinaiki terbakar di Jalan Bidor Lama, di sini pada awal pagi Khamis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 4.49 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dibantu anggota BBP Bidor ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki dua wanita dan dua kanak-kanak lelaki musnah terbakar.

Kereta dinaiki mangsa yang rentung dalam kebakaran di Jalan Bidor Lama, di Tapah pada awal pagi Khamis. Foto PBPM Perak
Kereta dinaiki mangsa yang rentung dalam kebakaran di Jalan Bidor Lama, di Tapah pada awal pagi Khamis. Foto PBPM Perak

"Seorang mangsa perempuan warga emas maut rentung di bahagian penumpang belakang kereta manakala seorang perempuan serta dua orang kanak-kanak lelaki anggaran usia lapan dan lima tahun melecur.

"Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital oleh pihak ambulans untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, mangsa yang maut pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, operasi pemadaman dilakukan anggota menggunakan dua aliran salur bantu mula air dari tangki jentera sehingga kebakaran dapat dipadam sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Sayani, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya jam 5.11 pagi dan operasi tamat pada 6.30 pagi.