Salah siapa anak tertinggal dalam kereta?

IZZAT, HAN LIN, FAHMI. AZURA
IZZAT, HAN LIN, FAHMI. AZURA
A
A
A

ISU melibatkan kecuaian ibu bapa dan penjaga dalam menjaga keselamatan anak-anak mereka dilihat semakin membimbangkan.

Sehingga kini, kes ibu bapa meninggalkan anak di dalam kenderaan masih lagi berlaku dalam negara ini sehingga tular di media sosial.

Lebih menyedihkan, insiden malang itu bukan sahaja boleh mengundang bahaya kepada kanak-kanak malah mengancam nyawa mereka.

Tahun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran keras kepada ibu bapa atau penjaga yang cuai menjaga keselamatan kanak-kanak di bawah tanggungan mereka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, adalah menjadi satu kesalahan jenayah buat ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan tanggungjawab mereka itu.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian menerima pelbagai maklum balas berhubung isu kanak-kanak ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kenderaan.

Ada yang setuju bahawa ibu bapa atau penjaga wajar dipersalahkan, malah ada juga yang berpandangan sebaliknya.

Namun, masing-masing mempunyai hujah dan pendapat tersendiri dalam isu terbabit.

Artikel Berkaitan:

Positif

TERLALU PENAT, SIBUK KERJA PUNCA ANAK TERTINGGAL

Peniaga, Azura Mohd, 38.

Saya ada mengikuti perkembangan kes-kes seperti itu sehingga ada yang menyebabkan kematian. Namun, ia seperti sudah menjadi ketentuan tuhan dan kita tidak boleh menyalahkan sesiapa.

Perkara itu bukannya soal kecuaian. Saya fikir ibu bapa yang bekerja ini, kadang-kala mereka penat dengan urusan masing-masing.

Dalam sibuk bekerja itu, ada kemungkinan mereka terlupa pasal anak-anak. Lagipun, banyak yang saya tengok mereka ini bukan jenis yang hari-hari bawa anak.

Selalunya, ibu bapa yang jenis sentiasa bawa anak ini mereka akan ingat di mana anak mereka.

Cuma mungkin kebetulan hari itu, tidak ada orang hendak jaga atau mengasuh, jadi mereka terpaksa bawa anak. Sebab itu kes ibu bapa tertinggal anak dalam kereta itu boleh berlaku.

Pada saya, ibu bapa bukan sengaja hendak meninggalkan anak mereka dalam kereta sebab saya pun ada anak juga. Jadi saya pun tahu macam mana rasanya.

Saya fikir mungkin ibu bapa perlu letak nota peringatan dalam kereta supaya dapat mengingatkan diri mereka supaya melihat anak terlebih dahulu sebelum keluar dari kenderaan.

Nota peringatan itu boleh letak di mana-mana sama ada di stereng atau papan pemuka kereta. Asalkan nota itu ada di depan kita.

Walaupun pada hari itu mereka tidak bawa anak tapi dengan adanya nota peringatan itu mereka boleh jadikan sebagai rutin untuk kerap toleh ke belakang bagi memeriksa anak-anak masing.

Peniaga, Fahmi Zainudin, 36.

Ibu bapa tidak boleh dipersalahkan seratus peratus sebab ada banyak faktor luar mengapa perkara tersebut boleh berlaku.

Lagipun sekarang ini semua orang sibuk dengan pelbagai perkara seperti keadaan semasa, ekonomi dan pekerjaan, ditambah pula dengan hari-hari kena menghadap kesesakan jalan raya. Jadi, ibu bapa ini ada macam-macam perkara yang perlu difikirkan.

Saya tidak fikir ibu bapa sengaja hendak tinggalkan anak mereka begitu sahaja dalam kereta kerana perkara tersebut melibatkan nyawa kanak-kanak.

Sama juga seperti kes ibu tertinggal anak dalam kereta sebelum ini. Ibu itu memberitahu dia menyangka telah sudah menghantar anaknya ke tadika.

Jadi, saya fikir bayi perlu diletakkan di tempat duduk hadapan sebab kalau mereka tertidur memang kita tidak sedar.

Bila kita letak anak di depan ia lebih senang dilihat tapi kalau letak di belakang memang kita akan terus keluar kereta bila sampai di tempat kerja.

SIBUK BEKERJA BUKAN ALASAN ABAIKAN ANAK

Peniaga, Izzat Hafizi, 26.

Ibu bapa seharusnya perlu peka dengan keadaan sekeliling dan tahu keberadaan anak-anak mereka sepanjang masa.

Saya berpandangan, ibu bapa tidak boleh menjadikan alasan terlalu sibuk dengan kerja sehingga mengabaikan anak mereka.

Jika mereka menjadikan kerja sebagai alasan tidak boleh tengok anak dan sebagainya, mungkin lebih elok kalau mereka tidak payah bekerja. Duduk sahaja di rumah dan jaga anak sahaja.

Kalau mereka pilih hendak bekerja, mereka harus terima tanggungjawab. Maksudnya, mereka perlu bekerja tapi kena juga jaga anak-anak.

Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa tetapi sebagai ibu bapa, keutamaan itu sudah tentu harus diberikan kepada anak-anak sebelum fokus pada aktiviti lain.

Pada saya, kalau rasa anak itu terpaksa ditinggalkan dalam kereta sebab hendak selesaikan urusan lain seperti beli barang dan sebagainya, sepatutnya ibu bapa ada pilihan.

Sama ada tinggalkan anak pada orang lain atau bawa seorang lagi teman untuk ikut mereka keluar.

Sekurang-kurangnya anak itu ada orang jaga. malah, mereka boleh menegur ibu bapa tersebut jika mereka terlupa anak di dalam kereta.

Penolong Pengurus Pejabat, Seow Han Lin, 25.

Sehingga hari ini, kes-kes melibatkan ibu bapa selaku penjaga di mana anak-anak mereka ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kereta menjadi kebimbangan masyarakat pada masa kini.

Perkara tersebut majoritinya berpunca daripada kecuaian penjaga yang dipengaruhi oleh faktor kesibukan dan tugasan yang melebihi kemampuan selain faktor kesihatan.

Dalam perkara tersebut, ibu ayah wajar memberi perhatian, sekali gus menggalas amanah tersebut dengan bersungguh-sungguh bagi mengelakkan insiden itu berulang.

Saranan kepada ibu bapa supaya mereka menghayati nilai kekeluargaan dan memahami anak itu adalah amanah Tuhan yang perlu dijaga dengan sebaik mungkin pada setiap masa.

Walau sibuk macam mana sekalipun, fokus ibu bapa adalah anak. Kemudian barulah diikuti oleh perkara lain seperti tugas hakiki dan pekerjaan.

Kes seperti ini bukannya perkara baharu tapi sehingga hari ini isu tersebut dilihat semakin serius.

Oleh itu, penting bagi ibu bapa untuk memberi keutamaan kepada isu tersebut.

Mungkin selepas ini mereka perlu amalkan tabiat sentiasa menoleh ke belakang sebelum keluar dari kenderaan bagi memastikan keselamatan anak-anak.