Dua anggota 'Geng Pian' didakwa samun, rompak bersenjata

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua anggota "Geng Pian” didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan samun dan rompakan berkumpulan bersenjatakan sebilah pisau terhadap empat individu dan sebuah syarikat farmasi, pada Disember tahun lepas.

Mohd Sufian Wahab dan Mohd Sahuri Hassim, masing-masing berusia 39 tahun, mengaku tidak bersalah selepas kelima-lima pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin, Siti Aminah Ghazali dan Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Di hadapan Norina, mereka didakwa bersama-sama melakukan samun berkumpulan terhadap seorang lelaki berumur 31 tahun di dalam perkarangan mesin juruwang automatik (ATM) bank Hong Leong, di Jalan Kepong di sini, pada 8 malam, 27 Disember 2023.

Dua lelaki itu juga didakwa atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sebilah pisau terhadap seorang wanita berumur 24 tahun dengan kerugian sebanyak RM4,300 di deposit tunai (CDM) bank HSBC di Rampai Business Park di sini, pada 9.05 malam, tarikh sama.

Norina membenarkan dua tertuduh itu masing-masing diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Di hadapan Siti Aminah, mereka didakwa atas dua pertuduhan iaitu bersama-sama merompak wang tunai RM780 milik seorang lelaki dan wang tunai RM3,650 milik sebuah syarikat farmasi di mesin ATM Bank Of China, Plaza OSK di Jalan Ampang, pada 9.40 malam, 27 Dis dan di mesin ATM Public Bank, Pasar Pudu, Dang Wangi pada 5.30 petang, 16 Disember lepas.

Mereka masing-masing dibenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di hadapan Nu’aman, dua lelaki itu didakwa melakukan samun berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah pisau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun dengan menyamun wang tunai RM100 serta sebentuk cincin di perkarangan ATM Bank Hong Leong, pada 5.40 petang, 16 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Nu’aman membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 5 Mac untuk sebutan kes.

Bagi kesemua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn, Nidzuwan Abd Latif dan Illya Syaheedah Mohd Razif manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Kelvinder Singh Deo. - Bernama