Lelaki bersama dadah bernilai lebih RM37,000 ditahan

Kenderaan dinaiki suspek berusia 42 tahun ditahan dalam serbuan di R&R Genting Highlands pada Selasa. 10 peket plastik dipercayai dadah jenis heroin dan barangan lain yang dirampas dalam serbuan pada Selasa. Foto PDRM
Kenderaan dinaiki suspek berusia 42 tahun ditahan dalam serbuan di R&R Genting Highlands pada Selasa. 10 peket plastik dipercayai dadah jenis heroin dan barangan lain yang dirampas dalam serbuan pada Selasa. Foto PDRM
A
A
A

BENTONG - Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah disyaki heroin seberat 4,565 gram bernilai kira-kira RM37,889.50 dalam serbuan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Highlands dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, suspek berusia 42 tahun itu ditahan dalam sebuah kenderaan di hentian terbabit.

Menurutnya, tangkapan suspek yang juga seorang warga tempatan itu dibuat oleh sepasukan polis dari Jabatan Narkotik Kontinjen Pahang kira-kira jam 2.05 petang.

"Hasil serbuan dan pemeriksaan menemui satu beg di dalamnya mengandungi 10 peket plastik berisi serbuk dan ketulan warna keperangan disyaki dadah jenis heroin.

"Operasi itu berjaya merampas dadah tersebut dan dipercayai boleh digunakan untuk 2,240 penagih dadah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu dan ditahan di bawah Seksyen 396 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Jelasnya, hasil semakan, suspek turut mempunyai 10 rekod lampau membabitkan dadah di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan lapan rekod di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Justeru, Zaiham meminta kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah di sekitar daerah itu menyalurkannya ke Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau balai polis berdekatan.

Artikel Berkaitan: