Longgokan sisa insulator kilang haram akan segera dibersihkan

Anggota penguat kuasa JAS melakukan pemeriksaan di tapak berkenaan.
Anggota penguat kuasa JAS melakukan pemeriksaan di tapak berkenaan.
A
A
A

ALOR SETAR - Longgokan sisa insulator atau penebat dengan ketinggian hampir mencecah lapan meter dikesan di kawasan kilang yang disyaki beroperasi secara haram di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Sungai Petani.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, longgokan tersebut berada di kawasan seluas kira-kira 669 meter persegi.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati tapak kilang berkenaan dipercayai sudah ditinggalkan dan tidak lagi beroperasi.

"Kilang berkenaan disyaki adalah kilang haram, tiada sebarang tanda nama kilang dijumpai pada premis terbabit. Bahan longgokan tersebut adalah buangan sisa pepejal,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pintu pagar kilang tersebut dikunci dan tiada nama kilang pada premis berkenaan.
Pintu pagar kilang tersebut dikunci dan tiada nama kilang pada premis berkenaan.

Sharifah Zakiah berkata, JAS juga akan memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk siasatan lanjut serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi tujuan pembersihan sisa pepejal yang ditinggalkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tapak tersebut dijadikan tapak pelupusan sisa plastik yang merupakan penebat wayar dipercayai dilupuskan secara haram oleh premis yang menjalankan aktiviti peleraian logam berharga (tembaga atau aluminium) daripada wayar elektrik).

“Wayar penebat terpakai yang belum diproses dikategorikan sebagai buangan terjadual, manakala selepas diproses dengan kaedah mengasingkan penebat dan kabel dalaman dikategorikan sebagai sisa pepejal,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sekiranya tidak dibersihkan segera, tapak tersebut berpotensi menjadi tapak pelupusan haram buangan lain termasuk buangan terjadual.

“Keadaan akan bertambah buruk jika berlaku pembakaran terbuka yang akan menyebabkan pencemaran udara kepada kawasan sekitar dan berisiko kepada kesihatan orang awam,” jelasnya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai mendakwa longgokan besar sisa pepejal itu didapati terbiar sehingga membimbangkan orang ramai.

Beliau kemudian membuat laporan kepada JAS untuk diambil tindakan kerana sisa terbabit dikhuatiri berisiko terbakar pada musim cuaca panas yang dialami pada masa ini.