Henti normalisasi individu pengamal aktiviti sundal

Tindakan pempengaruh media sosial mengundang lelaki yang menjalankan aktiviti persundalan sebagai tetamu sesi audio siar amat dikesali. Foto123RF
Tindakan pempengaruh media sosial mengundang lelaki yang menjalankan aktiviti persundalan sebagai tetamu sesi audio siar amat dikesali. Foto123RF
A
A
A

MERAK Jalanan senada dengan majoriti umat Islam dan tokoh agama yang kesal dengan tindakan pempengaruh media sosial mengundang lelaki yang menjalankan aktiviti persundalan sebagai tetamu sesi audio siar.

Individu tersebut sudah didakwa namun mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah walaupun secara jelas dia menjual video lucah diri sendiri bersama beberapa wanita.

Alasan pengendali audio siar menjemput lelaki berkenaan sebagai satu cara untuk mendedahkan realiti aktiviti persundalan di negara ini, sememangnya tidak boleh diterima.

Ia hanya taktik meraih populariti dan publisiti audio siar itu ke arah menormalisasikan perkara maksiat dan mungkar secara terbuka tanpa memikirkan sensitiviti umat Islam.

Kerajaan perlu bertindak tegas memantau semua program audio siar yang semakin banyak di media sosial kerana hal sedemikian bukan kali pertama dijadikan topik bualan.

Sebelum ini isu berkaitan aktiviti tidak bermoral dicetuskan oleh seorang pelakon popular apabila mencadangkan agar rumah pelacuran diwujudkan untuk warga asing di negara ini.

Menormalisasikan aktiviti persundalan bukan budaya rakyat Malaysia maka tidak wajar mengetengahkan secara terbuka mana-mana individu yang didakwa atas kesalahan itu walaupun atas alasan ingin berkongsi pengalaman.

Jika individu berkenaan sudah bertaubat, dia sepatutnya menutup aib sendiri dan sedaya upaya merahsiakan identiti ketika mahu mendedahkan sesuatu sebagai tujuan pengajaran kepada orang lain.

Artikel Berkaitan:

Pengendali program audio siar perlu mematuhi undang-undang negara dengan mempunyai tanggungjawab menjaga keharmonian agama.

Merak Jalanan harap kerajaan segera mengeluarkan garis panduan dan mewajibkan pendaftaran semua pengendali program audio siar agar isu yang ingin dibincangkan dilakukan secara berilmiah.