Buat podcast jangan merapu, biarlah beri manfaat

Gambar hiasan 123rf
Gambar hiasan 123rf
A
A
A

"RAMAI nak buat podcast, tapi sembang macam tak ada tujuan."

Demikian komen dilontarkan rakan Merak Jalanan ketika kami berbicara mengenai trend mewujudkan siaran podcast yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di negara ini.

Bagi Merak Jalanan, tidak salah mewujudkan podcast kerana ia adalah platform untuk berkongsi minat dan pengetahuan, malah ia memberikan keunikan tersendiri berbanding radio.

Namun, ada benarnya kritikan dilontarkan rakan Merak Jalanan kerana lambakan video podcast terutamanya daripada pempengaruh media sosial tidak boleh diambil bulat-bulat kerana ada pengisian yang macam sampah.

Kata rakan Merak Jalanan tadi, bukan semua orang perlu buat podcast dan dia berpendapat podcast tidak wajar dilakukan jika hanya sembang kosong tanpa sebarang topik berilmu untuk tontonan umum.

Sepatutnya, podcast yang baik adalah podcast yang menyajikan kisah kejayaan, temu bual dengan tokoh inspirasi dan motivasi untuk mencapai matlamat.

Merak Jalanan percaya dengan mendengar pengalaman orang lain yang berjaya dapat memberikan dorongan kepada pendengar untuk menghadapi cabaran hidup mereka sendiri.

Sebagai contoh, baru-baru ini kecoh diperkatakan mengenai sesi podcast yang mengatakan bahawa SPM tidak mempunyai nilai dalam kehidupan.

Artikel Berkaitan:

Secara peribadi, Merak Jalanan tidak setuju dengan topik yang dibincangkan kerana ia boleh mempengaruhi masyarakat terutamanya anak-anak.

Apa pun, sesi podcast kini nampak seperti murahan walhal tidak lama dulu ia menjadi ruang individu intelektual berdiskusi dan bertukar pendapat dalam perihal akademik, ekonomi dan seumpamanya lalu dikongsikan buat pengetahuan awam.

Buat pempengaruh di luar sana, Merak Jalanan berpesan jadilah individu yang berhemah dalam berkongsi sesuatu maklumat kerana setiap kenyataan boleh mempengaruhi pemikiran dan fahaman masyarakat.