Ringgit ditutup rendah susulan pengukuhan dolar AS

Pada 6 petang, ringgit turun ke paras 4.7655/7700 berbanding dolar AS pada 4.7460/7520 yang dicatatkan semalam. Foto hiasan
Pada 6 petang, ringgit turun ke paras 4.7655/7700 berbanding dolar AS pada 4.7460/7520 yang dicatatkan semalam. Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Selasa selepas unit negara maju itu terus mengukuh berikutan jangkaan pendirian kadar faedah kekal tinggi bagi tempoh lebih lama di AS.

Ini susulan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell pada Ahad lepas yang mengesahkan pendirian itu sejajar dengan prestasi ekonomi AS yang berdaya tahan dan telah memberi ruang lebih banyak bagi mengekalkan dasar monetari yang ketat.

Kenyataan itu sekali gus melenyapkan jangkaan pengurangan kadar faedah utama AS pada Mac ini, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit turun ke paras 4.7655/7700 berbanding dolar AS pada 4.7460/7520 yang dicatatkan semalam.

Sementara itu, Pengarah Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit berkemungkinan mendapat sokongan daripada langkah China untuk merangsang pasarannya yang dikaburi oleh satu lagi lonjakan pulangan bon AS dan jangkaan terhadap kadar faedah di AS.

Pasaran kini menjangkakan pengurangan kadar faedah daripada 150 mata asas (bps) kepada hanya 115 selepas pengumuman data pekerjaan AS yang kukuh serta keadaan ekonomi lebih baik di negara maju berkenaan.

"Oleh itu, tidak menghairankan apabila ringgit ditutup rendah," katanya kepada Bernama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar AS pada urus niaga hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Ringgit ditutup kira-kira 0.31 peratus lebih rendah dalam kebimbangan mengenai potensi kelewatan pengurangan kadar faedah AS selain prospek ekonomi China yang menjadi penyebab utama prestasi ringgit hari ini," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Mata wang tempatan itu susut berbanding yen Jepun kepada 3.2050/2082 daripada 3.1957/2000 pada akhir urus niaga semalam; naik berbanding pound Britain kepada 5.9769/9825 daripada 5.9804/9880 dan turun berbanding euro kepada 5.1124/1173 daripada 5.1038/1103.

Ringgit turut ditutup bercampur-campur berbanding mata wang Asean termasuk rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5397/5433 daripada 3.5260/5307 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.3544/3726 daripada 13.2559/2782.

Berbanding rupiah Indonesia, ringgit susut kepada 302.9/303.3 daripada 302.1/302.6 dan rendah berbanding peso Filipina pada 8.48/8.49 daripada 8.43/8.45, semalam. - Bernama