Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan unit negara maju itu kekal kukuh ketika harapan yang tipis kepada pengurangan awal kadar faedah AS serta data ekonomi China yang tidak memberangsangkan, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.7705/7745 berbanding dolar AS daripada 4.7570/7645 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) China adalah lebih rendah daripada jangkaan pada -0.8 peratus tahun ke tahun pada Januari dan merupakan bulan keempat berturut-turut yang menyaksikan ekonomi itu telah mengalami trend deflasi.

"Data terkini IHP menunjukkan bahawa ekonomi China memerlukan langkah rangsangan, sama ada dari segi dasar monetari atau fiskal. Oleh itu, yuan China dijangka kekal lemah berbanding dolar AS.

"Memandangkan ringgit turut berkait rapat dengan yuan, ringgit mungkin terjejas dengan trend sedemikian,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pegawai Rizab Persekutuan (Fed) pada Rabu menyampaikan mesej yang menegaskan konsensus jelas bahawa kadar pengurangan pada Mac tidak dibincangkan dalam mesyuarat itu.

"Fed komited kepada strategi yang berwaspada dan terancang mengenai pelarasan kadar sepanjang 2024. Memandangkan pendirian yang kurang memihak kepada kecenderungan menurunkan kadar faedah, yang melewatkan tarikh dan kadar pengurangan kadar, ringgit berdepan cabaran untuk mendapat kelebihan hari ini,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan telah beralih kepada yen Jepun, dengan mata wang itu mengalami tekanan jualan ketika pasaran mempertimbangkan masa yang sesuai bagi kenaikan kadar oleh Bank of Japan (BoJ) susulan pernyataan dengan kecenderungan menurunkan kadar faedah oleh pegawai bank pusat.

Artikel Berkaitan:

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2068/2100 daripada 3.2159/2212 semasa ditutup pada Rabu, menyusut berbanding pound Britain kepada 6.0251/0302 daripada 6.0095/0190 sebelum ini dan turun berbanding euro kepada 5.1445/1488 daripada 5.1233/1314.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama Asean.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.5471/5506 berbanding 3.5415/5474 pada Rabu dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 305.0/305.5 berbanding 304.2/304.8 semalam.

Ia berkurangan berbanding peso Filipina kepada 8.53/8.54 daripada 8.50/8.52 tetapi meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.3191/3362 daripada 13.3650/3917. - Bernama