'Tak fikir pasal diri, nekad terjun longkang selamatkan wanita hanyut'

Video tular Ngiam Choong terjun ke dalam longkang deras menyelamatkan mangsa. Gambar tengah: Ngiam Choong menerima sijil penghargaan.
Video tular Ngiam Choong terjun ke dalam longkang deras menyelamatkan mangsa. Gambar tengah: Ngiam Choong menerima sijil penghargaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - "Masa itu saya tak fikir langsung pasal diri sendiri... saya cuma nak masuk (longkang) dan selamatkan wanita yang hanyut itu," kata Choo Ngiam Choong, 50.

Ngiam Choong sanggup menggadaikan nyawa demi menyelamatkan seorang wanita yang terjatuh dalam longkang berarus deras di Jalan Bukit Samsu Kota Tinggi – Mersing susulan banjir di kawasan berkenaan pada 7 Januari lalu.

Menurut kontraktor dan juga ahli perniagaan itu, timbul keberanian dalam diri untuk terjun dalam longkang berarus deras berkenaan selepas melihat wanita itu terkapai-kapai hanyut bersama keretanya.

“Masa itu dalam jam 8 pagi saya dalam perjalanan nak pergi sarapan, tapi kawan saya berhentikan kereta.

"Saya terkejut nampak ada wanita sedang memegang belakang kereta yang hanyut dalam longkang besar.

“Saya pun terus terjun dan tarik dia ketepi. Orang lain yang ada di situ pun ada bantu, wanita itu dan kawannya selamat,” katanya yang berpengalaman sebagai sukarelawan banjir.

Ngiam Choong (kiri) menerima sijil penghargaan pada majlis berkenaan.
Ngiam Choong (kiri) menerima sijil penghargaan pada majlis berkenaan.

Ngiam Choong berkata demikian kepada pemberita setelah menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPM) Johor, Siti Rohani Nadir pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Negeri Johor di sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Dia sebelum ini turut menerima sijil penghargaan daripada JBPM Putrajaya dan Polis Johor atas tindakan beraninya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita berdepan detik cemas Myvi dihanyut arus deras

Ngiam Choong berkata, dia tidak menyangka usahanya menyelamatkan wanita tersebut viral dan menjadi tumpuan ramai.

"Saya yang sering ke Kota Tinggi menjalankan urusan perniagaan dan sering kali disapa dan dipuji oleh orang yang saya tidak kenal.

Ngiam Choong (tengah) bersama dua lagi penerima sijil dan anugerah.
Ngiam Choong (tengah) bersama dua lagi penerima sijil dan anugerah.

“Mula-mula tu saya malu tetapi lama-lama seronok juga sebab dapat ramai kawan baru, Melayu ada, Cina ada, India ada, memang seronok," katanya.

Dia berkata, sijil penghargaan yang diterimanya pada hari ni tidak ternilai harganya.

"Saya harap dapat jadi inspirasi kepada orang lain untuk membantu mereka yang dalam kesusahan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!