Polis Pahang patah cubaan edar dadah bernilai RM543,559

Yahaya (depan, tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas susulan penahanan enam suspek dalam operasi khas di sini pada Ahad dan Isnin lalu.
Yahaya (depan, tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas susulan penahanan enam suspek dalam operasi khas di sini pada Ahad dan Isnin lalu.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Polis Pahang berjaya mematahkan cubaan mengedar dadah jenis syabu, heroin dan pil yaba dianggarkan seberat lebih 26 kilogram (kg) bernilai RM543,559 susulan penahanan enam individu termasuk seorang wanita dalam satu operasi khas di sini pada Ahad dan Isnin lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, semua suspek berusia 25 hingga 51 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Tanjung Lumpur dan Indera Mahkota di sini.

Menurutnya, susulan penahanan suspek, polis menemui dan merampas dadah jenis syabu dianggarkan seberat 10.41 kilogram (kg), pil yaba ( 3249.9 gram) dan heroin (12.66 kg).

"Dadah terbabit ditemui dalam kenderaan dan bilik penginapan suspek.

"Turut dirampas dua kenderaan, wang tunai RM888 dan pelbagai barang kemas bernilai RM13,190," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.

Yahaya berkata, tangkapan pertama melibatkan tiga suspek termasuk seorang wanita di sekitar kawasan Tanjung Lumpur di sini pada jam 6.17 petang, Ahad lalu.

"Hasil serbuan dijalankan, polis merampas dadah jenis syabu dan pil yaba dengan berat keseluruhan dianggarkan lebih 13.6 kilogram bernilai RM438,429, sejumlah wang tunai, barang kemas dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipercayai milik salah seorang suspek.

Yahaya menunjukkan sebuah MPV dirampas dipercayai kenderaan sewa digunakan salah satu kumpulan pengedar dadah yang ditahan.
Yahaya menunjukkan sebuah MPV dirampas dipercayai kenderaan sewa digunakan salah satu kumpulan pengedar dadah yang ditahan.

Artikel Berkaitan:

"Saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah dan memiliki rekod lampau berkait kes dadah," katanya.

Sementara itu katanya, tangkapan kedua melibatkan tiga lelaki di sekitar Indera Mahkota antara jam 10 pagi pada Ahad hingga jam 12.23 pagi pada Isnin.

Beliau berkata, berikutan penahanan kesemua lelaki warga tempatan itu, polis merampas dadah heroin dianggarkan seberat 12.66kg bernilai lebih RM150,000 dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai kenderaan sewa.

"Salah seorang suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripada mereka turut memiliki rekod lampau berkait kes dadah," jelasnya.

Tambah beliau, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 5 hingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bekalan dadah dipercayai diperoleh dari Utara untuk dipasarkan sekitar Pahang dan negeri-negeri Pantai Timur lain.

427 individu ditahan dalam Ops Tapis Khas di Pahang

Dalam pada itu, seramai 427 individu termasuk 17 wanita ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Tapis Khas yang diadakan di seluruh daerah di negeri ini pada 29 hingga 31 Januari lalu.

Yahaya berkata, sepanjang operasi selama tiga hari itu, sebanyak 383 kes berjaya dikesan melalui 295 serbuan dan 542 pemeriksaan dilakukan.

Menurutnya, daripada keseluruhan individu ditahan berusia antara 19 hingga 60 tahun itu, 20 daripadanya ditahan di bawah kategori bekalan dan pengedaran, memiliki (127 individu) dan penagih dadah (280 individu).

"Sepanjang ops tersebut, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM14,700.

"Antara dadah dirampas, heroin (88.61 gram), syabu (34.40 gram), ganja (151.64 gram), pil yaba (12.94 gram), eramin 5 (0.52 gram), ketamin (5.44 gram), ectacy (1.96 gram), nimetazepan (6.5 gram), daun ketum (2.08 gram) dan air ketum (121.79 liter," katanya.

Yahaya berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menyita sebuah kereta dan dua motosikal dianggarkan bernilai RM18,500.

"Ops Tapis Khas itu dijalankan bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini.

"Ia dijalankan secara serentak di seluruh daerah melibatkan 19 pegawai dan 151 anggota dengan sasaran kawasan perumahan, penempatan Felda, jeti nelayan, jeti haram dan sarang penagihan dadah aktif," jelasnya.

Sementara itu katanya, sepanjang Januari lalu, seramai 23 individu disyaki pengedar dadah di negeri ini berjaya ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

"JSJN Pahang sentiasa bertindak proaktif menjalankan penguatkuasaan melibatkan pengedar dadah.

"Tangkapan pengedar dadah dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap polis dalam menangani masalah dadah di negeri ini," ujarnya.