Sejauh mana 'food review' boleh dipercayai

Apabila ulasan makanan ini sudah menjadi suatu kerjaya, sejauh mana orang ramai dapat mempercayai keenakan menu yang ditawarkan. Foto 123RF
Apabila ulasan makanan ini sudah menjadi suatu kerjaya, sejauh mana orang ramai dapat mempercayai keenakan menu yang ditawarkan. Foto 123RF
A
A
A

PERKEMBANGAN pesat media sosial pada masa kini menyebabkan wujudnya personaliti media sosial atau pempengaruh yang menjadikan ulasan makanan atau lebih dikenali sebagai food review sebagai kerjaya.

Aplikasi TikTok menjadi platform paling popular golongan ini tampil mempromosikan restoran yang unik dan enak.

Semakin ramai bilangan pengikut, semakin tinggi permintaan diterima untuk mengulas makanan di sesebuah restoran.

Namun, apabila ulasan makanan ini sudah menjadi suatu kerjaya, sejauh mana orang ramai dapat mempercayai keenakan menu yang ditawarkan.

Ini kerana, apabila dibayar mereka perlu memberi ulasan yang positif untuk menarik perhatian orang ramai berkunjung ke restoran terbabit.

Ditambah pula dengan teknik penyuntingan pada gambar dan video secara tidak langsung menambahkan lagi ‘keenakan’ pada makanan tersebut.

Tidak dinafikan ada sesetengah restoran memang menyajikan makanan yang lazat dan menjadi pilihan pelanggan sejak sekian lama.

Namun, ada juga restoran yang hanya suam-suam kuku turut membayar personaliti media sosial untuk mengulas makanan di restoran mereka.

Artikel Berkaitan:

Maka timbullah komen-komen kurang manis daripada pelanggan yang merasai sendiri makanan di restoran yang diulas.

Sebagai seorang yang gemar mencuba tempat makan tular, penulis juga tidak terkecuali menjadi mangsa pengulas makanan kerana hidangan yang digembar-gemburkan hanya indah khabar dari rupa.

Pempengaruh lazimnya menggunakan reaksi yang sama seperti sedap, menarik, rugi tidak cuba dan wajib cuba untuk berusaha menarik perhatian orang ramai berbanding menerangkan dengan lebih teliti bagaimana rasa sesuatu masakan itu.

Selain itu, dalam suasana masyarakat ligat memburu restoran-restoran tular ini, ada juga restoran yang tidak halal turut mengambil kesempatan.

Ini dibuktikan apabila sebelum ini tular di aplikasi TikTok apabila sebuah akaun TikTok yang dimiliki pempengaruh beragama Islam mengulas makanan di sebuah restoran yang menyediakan arak.

Dalam video berkenaan langsung tidak diberitahu tentang perkara itu, namun beberapa komen termasuk daripada bekas pekerjanya sendiri menerangkan perkara berkenaan dan melarang pelanggan beragama Islam berkunjung ke restoran terbabit.

Sebelum itu juga tular pempengaruh yang juga pasangan suami isteri menikmati cendol dari kedai bukan Islam di Pulau Pinang.

Sememangnya makanan yang disajikan adalah halal. Namun menurut seorang ustaz di Tiktok yang dikenali sebagai Ustaz Kembar, hukum memakan makanan yang halal di kedai orang kafir adalah harus sahaja dengan syarat bahan-bahan dan perkakasan yang digunakan untuk memasak dan untuk dihidangkan kepada pelanggan Islam adalah daripada sumber yang halal serta suci dan bersih.

Sejauh mana kita dapat pastikan kedua-dua aspek berkenaan dititikberatkan kepada pelanggan beragama Islam oleh pengusaha restoran dalam keadaan mereka perlu mengoptimumkan kos perniagaan?

Jika ragu-ragu, ustaz terbabit menasihatkan orang ramai agar makan di kedai orang Islam atau yang disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pendek kata di sini, kita perlu bijak menilai restoran yang disyorkan oleh pengulas makanan dan jenis makanan yang disajikan. Jangan hanya kerana terliur melihat video yang dipaparkan kita terus menerjah lokasi yang dicadangkan.

Seeloknya baca dahulu komen daripada pengguna lain yang pernah berkunjung ke situ dan buat perbandingan. Atau boleh juga tanyakan kepada rakan-rakan yang tinggal berdekatan lokasi terbabit.

Dalam pada itu, kepada pempengaruh yang menjadikan ulasan makanan sebagai kerjaya jadilah seseorang yang memberi manfaat kepada orang lain.

Sebelum mengambil sesuatu tugasan itu, semak dahulu status halal dan juga jenis makanan yang disediakan jangan kerana anda seorang, lebih ramai umat Islam terjerumus dalam perkara yang syubhah.

* Roshila Murni Rosli ialah wartawan Sinar Harian Kedah.