Penipuan Accerx: 124 laporan diterima, kerugian RM90.36 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sejumlah 124 laporan berhubung penipuan pelaburan mata wang kripto dikenali sebagai 'Accerx' sejak November tahun lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, jumlah kerugian keseluruhan yang dicatatkan sehingga ini berjumlah RM90.36 juta.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengenal pasti 73 syarikat terlibat dalam penipuan sindiket tersebut, selain akaun bank milik syarikat (83) serta satu akaun bank individu persendirian.

"Seorang individu berusia 24 tahun yang berperanan sebagai pemilik akaun keldai telah berjaya dituduh di mahkamah bersabit satu kes di Keningau, Sabah.

"Pertuduhan dibuat pada 3 Januari lalu di bawah Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Sabah)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rohaimi berkata, satu laporan polis diterima di Sentul, dekat sini pada 30 Januari lalu daripada seorang lelaki berusia 60 tahun yang mengalami kerugian RM11.13 juta setelah menyertai skim pelaburan Accerx tersebut.

Jelas beliau, jumlah kerugian yang dialami lelaki tersebut merupakan yang tertinggi setakat ini bagi satu kes.

Kata beliau, melalui laporan polis yang dibuat individu tersebut yang juga seorang pengarah syarikat mendakwa telah terpedaya dengan skim pelaburan Accerx diiklankan dalam media sosial Facebook pada September lalu.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"PDRM ingin mengingatkan mana-mana individu yang mungkin masih berurusan dengan skim pelaburan Accerx untuk menghentikan perkara tersebut dan membuat laporan di balai polis berhampiran.

"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai yang ingin terlibat dalam urusniaga mata wang kripto dinasihatkan untuk membuat semakan kesahihan 'exchanger' yang menawarkan perkhidmatan tersebut melalui laman web www.coinmarketcap.com.

"Sebarang maklumat berkenaan kesahihan pelaburan mata wang kripto juga perlu dirujuk kepada agensi yang bertauliah seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC)," ujarnya.