Kartel ejen warga asing menyamar majikan, manipulasi program RTK 2.0

Hishamuddin (empat dari kanan) dan Musa (tengah) menunjukkan contoh borang program RTK 2.0 yang perlu diisi secara percuma tetapi diambil kesempatan oleh ejen warga asing yang memperdaya rakan sebangsa di negara ini.
Hishamuddin (empat dari kanan) dan Musa (tengah) menunjukkan contoh borang program RTK 2.0 yang perlu diisi secara percuma tetapi diambil kesempatan oleh ejen warga asing yang memperdaya rakan sebangsa di negara ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta untuk membanteras kartel ejen warga asing yang menyamar sebagai majikan dengan memanipulasi program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0).

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, hasil kajian dilakukan, pihaknya mendapati golongan ejen warga asing bertindak menyamar menjadi majikan dengan memperdaya golongan warga asing yang ingin mendaftar di bawah RTK 2.0.

Beliau berkata, golongan ejen tersebut menggunakan warga tempatan atau isteri mereka warga Malaysia sebagai proksi dalam menjalankan syarikat pendaftaran warga asing dalam program RTK 2.0.

Jelas beliau, kumpulan penyangak tersebut mengambil kesempatan daripada program RTK 2.0 yang dilaksanakan secara percuma.

"Kumpulan kartel yang diuruskan oleh warga asing ini sememangnya mengambil kesempatan daripada program RTK 2.0 yang dilihat sangat baik oleh kerajaan untuk membolehkan warga asing masih tinggal di Malaysia mendapatkan kelulusan permit kerja.

"Namun pekerja asing yang berada di negara ini telah diperdaya oleh bangsa mereka sendiri apabila terdesak mendapatkan permit kerja yang telah tamat tempoh atau berada lebih masa di Malaysia.

"Mereka ini diperdaya dengan membayar sejumlah bayaran yang cukup besar iaitu sehingga RM7,500 kepada kartel tersebut, sedangkan program RTK 2.0 yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah secara percuma," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Hadir sama Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, kartel ejen warga asing tersebut dipercayai mengungut mangsa yang berdaftar dengan mereka untuk tidak membuat laporan polis.

Kata beliau, sekiranya terdapat pekerja warga asing yang cuba mendaftar kerja dengan syarikat lain, kartel tersebut akan bertindak melapor kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi disenarai hitam kerana telah mendaftar terlebih dahulu dengan mereka.

Jelas beliau, perkara tersebut membuatkan pekerja asing menjadi takut dan bimbang akan dihantar pulang ke negara masing-masing kerana telah disenarai hitam.

Selain itu kata beliau, ejen kartel warga asing juga dipercayai memonopoli pendaftaran pekerja asing bangsa mereka yang masih berada di negara ini.

Menurut beliau, kumpulan kartel akan mendaftar sebanyak mungkin pekerja asing bermasalah yang berada di negara ini di bawah syarikat mereka, sebelum membekalkan semula kepada kontraktor tempatan memerlukan pekerja asing.

"Kumpulan kartel ini sebenarnya membuat duit dengan perniagaan sumber manusia yang mereka ada itu.

"Ada antara mereka yang membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia terlebih dahulu sebelum program RTK 2.0 bermula, seterusnya mengambil kesempatan mendaftarkan di bawah program kerajaan itu bagi mendapatkan keuntungan," ujarnya.

Tegas beliau, mangsa dijanjikan dengan peluang kerja, sebaliknya diperdaya bagi mendapatkan keuntungan besar.