Dadah: Tiga sahabat berdepan hukuman mati

Mahathir (kiri), Muhammad Nazry (tengah) dan Muhammad Amirul (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Muar selepas didakwa mengedar syabu, bulan lalu.
Mahathir (kiri), Muhammad Nazry (tengah) dan Muhammad Amirul (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Muar selepas didakwa mengedar syabu, bulan lalu.
A
A
A

MUAR - Tiga sahabat berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas kesalahan mengedar dadah jenis syabu 82.86 kilogram (kg), pada bulan lalu.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu Mahathir Hamzi, 24, Muhammad Amirul Azhar, 31, dan Muhammad Nazry Iskandar, 27 dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan niat bersama mengedar dadah anggaran kasar seberat 82,866 gram methamphetamine.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di sebuah rumah di Sungai Balang Darat, di sini pada pukul 6.45 petang, 24 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama bersama Sesyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 sebatan.

Artikel Berkaitan:

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh.

Mahkamah menetap 21 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pada 28 Januari lalu, Sinar Harian Seramai lapan individu termasuk dalang sindiket penyeludupan dadah antarabangsa berjaya ditahan hasil lima serbuan di Johor, Pulau Pinang dan Pahang, pada Rabu serta Khamis minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pelbagai jenis dadah dianggarkan sebanyak 83 kilogram (kg) bernilai RM2.73 juta dirampas di Parit Jawa, Muar; Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Muadzam Shah, Pahang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!