Johor kekal larangan jual vape

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BATU PAHAT - Kerajaan Johor mengekalkan larangan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri itu sama seperti yang diputuskan sejak 1 Januari 2016 dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menjualnya secara terbuka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata sehubungan itu, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti mana-mana pihak termasuk kedai serta restoran yang masih berdegil menjual vape.

“Kita akan mengambil tindakan bersama PBT (yang kendali lesen perniagaan) sekiranya didapati premis perniagaan itu menjual vape secara terbuka kepada pelanggan.

“Kerajaan negeri juga akan memikirkan cara tindakan yang akan dikenakan terhadap aktiviti penjualan vape ini secara dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Fasiliti Pandu Lalu KitaRecycle dan Sumbangan Bakul Limau 2024 di sini pada Isnin.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), Nur Faiz Jamil dan Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Kerajaan SWM Environment Sdn Bhd, Norsida Taslim Duka.

Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Yong Peng berkata, pihaknya mengalu-alukan orang ramai untuk membuat aduan di pejabat kesihatan daerah atau negeri berkaitan aktiviti penjualan vape.

Sementara itu, beliau berkata, Fasiliti Pandu Lalu KitaRecycle merupakan langkah proaktif SWM Environment untuk memudahkan komuniti setempat dalam usaha menyumbang kepada kelestarian alam dan menggalakkan budaya pengurusan sisa kitar semula.

“Fasiliti ini beroperasi secara pandu lalu dan menggunakan aplikasi KitaRecycle dan sedia menerima 25 jenis barangan kitar semula termasuk botol kaca, perkakas elektrik dan peranti elektronik.

“Difahamkan bagi pengurusan sisa pepejal di negeri ini, perbelanjaannya mencapai RM215,000 sebulan dan RM2.6 juta setahun untuk satu-satu PBT, kita akan dapat menjimatkannya (pengurusan sisa pepejal) sekiranya aktiviti kitar semula dijalankan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, SWM Environment dan MDYP melalui Yayasan Makmur MDYP turut menyantuni 80 keluarga golongan kurang berkemampuan dengan menyampaikan sumbangan barangan dapur bersempena sambutan Tahun Baharu Cina. - Bernama