Pastikan dana beri implikasi kepada pembangunan usahawan

Ewon Benedick. Foto fail Bernama
Ewon Benedick. Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sekretariat Tetap Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK) diwujudkan bagi memastikan supaya semua dana yang disalurkan kepada setiap kementerian dan agensi memberikan implikasi besar kepada pembangunan keusahawanan negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, mesyuarat MPUPK kali pertama yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut bersetuju agar SME Corporation Malaysia (SME Corp) berfungsi sebagai Ketua Sekretariat.

"Sekretariat ini sebagai penyelaras dan pelaporan pelaksanaan belanjawan yang terkait dengan pembangunan keusahawanan oleh agensi di semua kementerian dan akan bermesyuarat setiap bulan yang akan dipengerusikan oleh Ahmad Zahid," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Isnin.

Menurutnya, mesyuarat turut meluluskan panduan pantas untuk Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mengenai ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus).

"Ia merupakan satu panduan pantas kepada semua PMKS yang mana kita telah permudahkan garis panduan mengambil kira apa yang telah dilancarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti," katanya.

Ujar beliau, garis panduan tersebut akan mempermudahkan PMKS seperti akses pasaran yang lebih besar.

"Dalam masa sama kita mahu menggalakkan adaptasi komponen persekitaran tadbir urus yang baik dalam kalangan PMKS," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid hadir melancarkan buku Panduan Pantas ESG dan Pelan Strategik PMKS.

Artikel Berkaitan:

Panduan pantas ESG diterbitkan oleh SME Corp untuk PMKS yang mengenal pasti kriteria asas bagi penerapan amalan ESG oleh PMKS.

Panduan pantas itu merangkumi lapan langkah mudah untuk firma memahami kepentingan ESG dalam perniagaan, menetapkan objektif, mengenal pasti indikator ESG yang berkaitan dengan perniagaan, menghasilkan pelan tindakan kelestarian dan seterusnya menggunakan templat mudah untuk pelaporan ESG.

Panduan ini mengandungi 13 indikator asas yang boleh diguna pakai oleh semua PMKS.

Panduan Pantas ESG untuk PMKS diterbitkan dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta boleh dimuat turun secara percuma di laman web SME Corp.