Penduduk buat rondaan, bimbang ancaman tahanan lari

Penduduk Kampung Bermin dekat Tapah mulakan inisiatif membuat rondaan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku ancaman tahanan yang melarikan diri. (Gambar kecil: Kamarulzaman)
Penduduk Kampung Bermin dekat Tapah mulakan inisiatif membuat rondaan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku ancaman tahanan yang melarikan diri. (Gambar kecil: Kamarulzaman)
A
A
A

TAPAH - Penduduk di beberapa kampung di sini mula membuat rondaan keselamatan susulan kes 131 tahanan warga asing melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bermin, Kamarulzaman Mohamad berkata, inisiatif itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku ancaman kepada komuniti setempat.

Menurutnya, tumpuan rondaan diberikan di kebun-kebun persendirian dan pondok kosong yang berkemungkinan dijadikan lokasi persembunyian tahanan.

"Rondaan ini melibatkan Kampung Bermin, Kampung Jambai, Kampung Rebai dan Kampung Sungai Gading yang mempunyai hampir 350 penduduk.

"Kita ambil tindakan segera kerana sebelum ini sudah ada tahanan yang dikesan bersembunyi di kawasan ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata, penduduk juga telah diingatkan untuk sentiasa peka dan maklumkan segera kehadiran individu tidak dikenali di kawasan masing-masing.

"Kita lakukan rondaan bermotosikal secara berkala dengan harapan dapat mengurangkan rasa bimbang dan takut kepada penduduk," katanya.

Dalam operasi sekitar jam 7.25 malam pada Sabtu, seorang tahanan etnik Rohingya berjaya diberkas di Kampung Bermin selepas dikesan berkeliaran di sekitar kawasan kampung.

Artikel Berkaitan:

Kamarulzaman berkata, apa yang menjadi kebimbangan apabila tahanan tersebut berani mengetuk pintu rumah penduduk dan merayu meminta makanan.

"Tahanan itu ada beritahu dia terpisah dengan rakan lain dan mengambil keputusan berjalan kaki ke kampung untuk mencari makanan kerana terlalu lapar," katanya.

Polis sebelum ini memaklumkan, saki baki tahanan warga asing yang melarikan diri masih berada dalam kawasan hutan dan bersembunyi di kawasan perkampungan penduduk sekitar pentadbiran Tapah dan Bidor.

Pada Khamis media melaporkan seramai 131 pendatang tanpa izin melarikan diri dari blok lelaki depot itu dengan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya.