Gambar 'terbang' Ketua Menteri jadi perhatian

Gambar 'terbang' Adly yang mendapat pelbagai reaksi warganet.
Gambar 'terbang' Adly yang mendapat pelbagai reaksi warganet.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Ketua Menteri, Adly Zahari tidak cepat melatah susulan penyebaran gambar beliau yang membuat aksi wushu menarik perhatian netizen.

Adly berkata, gambar tersebut dirakam ketika beliau terlibat dalam pembikinan video sempena Tahun Baru Cina dan akan disiarkan bermula 18 Januari ini di laman sosial sebagai usaha mempromosikan sukan wushu yang telah banyak menaikkan nama Melaka di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, proses pembikinan video yang mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam itu juga tidak lari dari tumpuan utama beliau untuk membangun dan memacu ekonomi negeri, seharusnya dipandang dari sudut positif dan tidak perlu dipertikaikan.

"Ia pembikinan video yang ringkas sahaja dan dari 365 hari yang digunakan untuk pembangunan negeri ini, hanya beberapa jam sahaja bagi proses pembikinan itu.

Dua keping yang dimuat naik Adly ke laman sosial, Facebook miliknya.
Dua keping yang dimuat naik Adly ke laman sosial, Facebook miliknya.

"Wushu menjadi pilihan tema kita kerana sembilan daripada 15 atlet antarabangsa Malaysia dalam sukan wushu adalah dari Melaka dan gambar itu hanyalah sebahagian daripada aksi keseluruhan video tersebut," katanya.

Terdahulu, dua keping gambar memaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu memakai baju tradisional masyarakat Cina atau dipanggil baju 'magua' yang beraksi terbang dimuat naik ke laman sosial dan menerima pelbagai reaksi netizen.

Antaranya termasuklah menyamakan beliau dengan hero Filem Ip Man 4, Donnie Yen yang sedang ditayangkan di panggung wayang dan tidak kurang yang mengaitkan dengan kereta terbang 2020.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, gambar 'terbang' itu dengan keterangan gambar 'kanak-kanak dilarang meniru aksi ini' turut mendapat reaksi bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.